Gempar !!! Tommy Thomas dedah ‘penglibatan’ Najib dalam pembunuhan Altantunya

Gempar !!! Tommy Thomas dedah ‘penglibatan’ Najib dalam pembunuhan Altantunya

Sirul Azhar Umar memberikan bukti yang membenarkan dakwaan tertuduh bersama Azilah Hadri, yang membabitkan keterlibatan bekas perdana menteri Najib Razak dalam pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Menurut bekas peguam negara Tommy Thomas, ini berdasarkan wawancara oleh seorang timbalan pendakwa raya kanan yang diarahkannya untuk bertemu Sirul di pusat tahanan imigresen Villawood di Australia.

“Saya meminta seorang DPP senior untuk terbang ke Sydney bagi meminta izin pihak berkuasa di sana untuk menemubual Sirul mengenai kewibawaan pengakuan Azilah.

“DPP kanan saya menghabiskan banyak hari untuk mewawancara Sirul di Villawood. Keterangan Sirul mengesahkan (corroborate) keterangan Azilah.

“Versi bersama mereka ada kredibiliti, terutama dengan mempertimbangkan bahawa mereka dipenjara di pusat tahanan yang berlainan di dua negara tanpa cara untuk saling berhubungan.

“Saya berpuas hati mereka bercakap benar,” tulis Tommy dalam memoirnya “My Story: Justice in the Wilderness”.

Thomas berkata dia dimaklumkan Sirul sebelum ini telah memberitahu pihak berkuasa Australia bahawa dia diarahkan untuk membunuh seorang perisik asing, serupa dengan apa yang didakwa oleh Azilah.

Kedua-dua Sirul dan Azilah bekas anggota pasukan komando khas polis. Mereka disabitkan membunuh warga Mongolia pada tahun 2006.

Bagaimanapun, Sirul melarikan diri ke Australia setelah Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Persekutuan kemudian mengembalikan keputusan bersalah terhadapnya dan sabitan hukuman mati.

Australia mempunyai polisi tidak mengusir mereka yang sedang menjalani hukuman mati pulang ke negara asalnya.

Dalam memoirnya, Thomas menyentuh pengakuan Azilah yang pertama kali dibuat saat menunggu hukuman mati di penjara Kajang – bahawa dia bersama-sama dengan Sirul membunuh Altantuya setelah arahan eksplisit “tembak untuk membunuh” (shoot to kill).

Azilah, pada bulan Disember 2019, mendakwa arahan itu datang daripada Najib dan sekutu rapatnya, Abdul Razak Baginda.

Perincian ini terkandung dalam permohonan Azilah kepada Mahkamah Persekutuan untuk menyemak semula sabitan dan hukuman matinya, bersama dengan Sirul.

“Azilah menyokong permohonan semakannya dengan akuan berkanun yang sama (SD) yang pernah saya baca sebelum ini.

“Ini tidak hanya membabitkan Najib sebagai orang yang memberi arahan kepada Azilah untuk membunuh, tetapi juga pembantunya, Musa Safri, kerana membantu atau bersubahat dengan Najib,” kata Thomas merujuk kepada SD itu.

Pada SD bertarikh 17 Okt 2019, Azilah mendakwa Najib mengarahkannya untuk “menangkap dan menghapuskan” (arrest and destroy) Altantuya, yang dikatakan oleh timbalan perdana menteri ketika itu sebagai “perisik asing” dan “ancaman terhadap keselamatan negara.”

Bagaimanapun, Najib telah menafikan dakwaan tersebut.

Sementara itu, Thomas dalam bukunya juga menulis ayah Altantuya, Shaariibuu Setev, telah membuat laporan polis kedua pada 2018 menggesa dibuka satu siasatan baru mengenai pembunuhan anak perempuannya berikutan kemenangan Pakatan Harapan pada pilihan raya umum yang lalu.

Bekas peguam negara berkata ketika itu, dia secara peribadi telah mengatur pertemuan dengan ketua polis negara Fuzi Harun dan beberapa pegawai kanan polis lain, tetapi dimaklumkan tidak ada petunjuk baru dalam kes berkenaan.

Thomas berkata siasatan itu hanya mula bergerak lebih dari setahun kemudian berdasarkan kandungan SD Azilah dengan polis merakam pernyataan saksi yang disebutkan dalam dokumen 32 halaman itu.

“Objektif siasatan baru untuk membina kes.

“Saya perlu menjadi sangat hati-hati atas alasan yang jelas. Tetapi satu perkara yang pasti – saya tidak dapat mengabaikan pendedahan yang dibuat oleh Azilah dengan akuan bersumpah itu, yang menjadi asas permohonan kepada mahkamah tertinggi di negeri ini,” katanya.

Pada 8 Disember lalu, sidang lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Hakim Besar Malaya Azahar Mohamed sebulat suara menolak permohonan semakan Azilah.

Azahar berkata Azilah terus membisu mengenai apa yang dikatakan “bukti baru” sebagaimana dinyatakan dalam akuan berkanunnya sepanjang siasatan polis, perbicaraan di Mahkamah Tinggi, dan rayuan berikutnya di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Permohonan Azilah dikemukakan pada 5 Disember 2019, dengan alasan pemohon dibenarkan untuk menambahkan bukti lebih lanjut yang tidak dikemukakan semasa perbicaraan pembunuhan di Mahkamah Tinggi Shah Alam. – MK