Sebuah gerai minuman di Bandung, wilayah Jawa Barat, Indonesia menjadi perhatian kerana menjual minuman yang disimpan di dalam balang menyerupai pam minyak.
Gerai teh di Jalan Ciwastra itu mengetengahkan konsep stesen minyak selain turut dikenali sebagai Pertehmina.
Ia menyerupai nama syarikat minyak dan gas milik Indonesia, Pertamina.
Penjual pula memakai pakaian menyerupai pekerja stesen minyak, lengkap dengan topi.
Menurut pemilik Pertehmina, Rahadika, idea untuk menggunakan konsep tersebut timbul selepas melihatkan keadaan cuaca yang semakin panas.
“Air teh sememanmgnya menjadi minuman kegemaran orang ramai dan diminum setiap hari. Dalam masa sama, kami mahu mengetengahkan sesuatu yang berbeza dan mempunyai nilai tambah,” katanya.
Tambah Rahadika, meskipun menggunakan balang menyerupai pam minyak, ia sebenarnya bekas bergred makanan, dan bukannya diubah suai daripada pam minyak sebenar.
“Konsepnya sahaja pam minyak tetapi semua peralatan yang digunakan mempunyai gred makanan,” ujarnya.
Mengetengahkan lima jenis minuman, pekerja akan mengisi air ke dalam bungkusan mengikut sukatan yang diminta oleh pengguna.
Ia dijual pada harga antara 3,000 rupiah hingga 9,000 rupiah (RM0.90 dan RM2.70), manakala teh yang digunakan 100 peratus berasal dari Jawa Barat.
BACA: Selain gemar mengumpul kereta, ini hobi ‘pelik’ YDP Agong ke-17 ramai tak tahu