Golongan muda dari negeri ini sering ke kelab malam di Golok, Thailand untuk berhibur setiap hujung minggu, terutama pada malam Jumaat dan Sabtu.
Kehadiran ramai anak muda ini menyebabkan ada antara mereka terpaksa menunggu ‘syif’
atau giliran untuk masuk ke kawasan tersebut sebelum dapat berhibur.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, maklumat ini diperoleh daripada rakan sejawatannya
yang membuat kunjungan hormat ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini semalam.
Menurutnya, kebanyakan anak muda yang berkunjung ke negara jiran itu dipercayai menggunakan laluan haram, malah ada antara mereka yang masih berusia belasan tahun.
“Saya mendapat maklumat, orang dari Kelantan perlu menunggu ‘syif’ (giliran) untuk masuk ke kelab atau pub. Orang yang keluar dahulu, barulah mereka boleh masuk ke dalam.
“Memang penuh sesak dan terlalu ramai. Hari biasa pun ramai, apatah lagi hujung minggu. Semua pihak tidak boleh berbuat apa-apa kerana kerajaan Thailand tidak menyekat (kemasukan melalui laluan tidak sah),” katanya pada sidang akhbar selepas Sesi Perjumpaan dan Suai Kenal Ketua Polis Kelantan Bersama Rakan Media di IPK Kelantan, di sini hari ini.
Mohd. Yusoff turut memberitahu bahawa kebanyakan golongan ini pergi ke Thailand pada petang Khamis sebelum pulang semula ke Kelantan pada hari Sabtu.
Katanya lagi, mereka yang suka berhibur di kelab malam di Golok ini dipercayai meletakkan kenderaan mereka di Rantau Panjang sebelum menyeberangi Sungai Golok untuk ke negara tersebut.
Beliau menjelaskan bahawa semua pihak tidak boleh berbuat apa-apa kerana kerajaan Thailand tidak menghalang kemasukan mereka.
“Jika perkara yang sama berlaku di Malaysia (rakyat asing datang berhibur), pihak berkuasa boleh menangkap mereka di bawah Akta Imigresen,” katanya.
Oleh itu, agak sukar untuk menghalang rakyat Malaysia, khususnya dari Kelantan, daripada berhibur di Golok.
BACA: “Bea Sobar Bea” “Awak jangan risau Kami jaga anak mung nanti”