Guru lelaki alami penyakit misteri selepas tolak cinta cikgu janda

Oleh SULAIMAN ABD RAHMAN

“Hai Cikgu Azwan, dah lama sampai?” Tegur Cikgu Diana yang baharu melabuhkan punggungnya di kerusi.

Azwan hanya senyum memandang rakan sejawatannya sambil mengangguk ketika disapa guru wanita bertahi lalat besar di pipi kiri itu.

Ketika mahu meminta diri untuk ke kantin, tiba-tiba Cikgu Diana menyerahkan sebekas makanan dan meletakkan di atas meja Azwan.

Guru lelaki alami penyakit misteri selepas tolak cinta cikgu janda

“Apa ni Kak Diana? Buat susah-susah je,” kata Azwan sambil matanya memandang sekeliling bilik guru, sedikit bimbang jika ada mata lain yang memandang.

Bukan apa, selain kurang senang ‘dikenen’ dengan guru wanita berusia 42 tahun itu, Azwan bimbang jika ada yang mula cakap-cakap belakang melihat mereka berdua.

Bukan sekali dua Azwan menerima makanan daripada Diana, tetapi sudah kerap guru wanita berstatus janda itu memberi makanan hasil air tangannya, sampaikan dia merasa segan.

Azwan akui, Diana memang handal memasak.

Tidak pernah makanan yang diberikan wanita itu tinggal bersisa. Pasti licin sebekas lebih-lebih lagi jika dibekalkan kari ayam.

“Ehem… seronoknya hari ni dapat bekal lagi. Lauk apa pula kali ni?” Usik Halim, ketika Azwan membuka penutup bekas.

Azwan hanya tersenyum dan jari telunjuknya pantas diletakkan di bibir Halim, tanda supaya memperlahankan suaranya.

“Azwan, aku rasa Kak Diana suka kau lah. Kenapa dia tak bawa makanan untuk orang lain, tapi kau je. Kau tak rasa macam tu ke?

“Aku tak cemburu tau… aku pun dah berbini. Tapi tak risau ke kalau dia guna-guna melalui makanan? Bagi kau syok kat dia,” tanya Halim serius.

Azwan menghentikan suapan sebaik mendengar kata-kata Halim, rakan sejawatannya ketika mereka sama-sama makan di pantri.

“Tak mungkinlah Halim. Mungkin dia kesian dekat aku… duduk pun bujang, masak jauh sekali,” kata Azwan, cuba bersangka baik.

Dapat surat cinta

Beberapa hari kemudian, Diana meletakkan sebekas makanan di atas meja Azwan ketika dia tiba di bilik guru.

Sewaktu membuka beg plastik, Azwan terkejut apabila melihat ada sehelai sampul yang diletakkan di atas bekas makanan.

Dia segera membuka sampul itu, selepas memastikan keadaan sekeliling ‘selamat’.

Rupa-rupanya, ia adalah luahan perasaan guru wanita itu terhadapnya.

Tidak keruan Azwan sepanjang hari itu. Tidak disangka, rupa-rupanya tekaan Halim sebelum ini memang tepat.

Selepas tiga hari ‘insiden’ mendapat surat cinta Diana, Azwan mengambil keputusan untuk berterus terang kerana tidak mahu dituduh mengambil kesempatan atau memberi harapan.

Azwan sebenarnya sudah mempunyai buah hati dan bakal mengikat tali pertunangan dengan gadis pilihannya, Maryam, yang kini bertugas sebagai jururawat di kampung halaman mereka di Tapah, Perak.

Sebelum pulang selepas tamat sesi sebelah pagi, Azwan sempat menyelit sepucuk surat di dalam buku nota yang sering dibawa Diana.

Gangguan demi gangguan hingga jatuh sakit

Sejak membalas surat Diana, Azwan perasan guru wanita itu banyak berubah.

Tiada lagi tanya khabar atau sembang kosong ketika masing-masing sedang berehat di bilik guru sementara menunggu untuk mengajar.

Hanya sekadar bercakap perkara yang penting sahaja.

Paling ketara, tiada lagi bekalan makanan untuknya namun Azwan tidak kisah kerana dia sendiri yang meminta wanita itu supaya tidak lagi berbuat demikian.

Satu hari, Azwan berasa tidak sedap badan. Seperti seram sejuk dan kerap berulang-alik ke tandas kerana loya.

Pada sebelah malam pula, dia tidak dapat melelapkan mata kerana diganggu bunyi aneh dari atas bumbung rumah kampung yang disewanya.

Azwan hairan kerana demamnya masih belum kebah biarpun sudah hampir seminggu.

Dia menggagahkan jua diri ke sekolah biarpun badan seperti tidak bermaya.

Minggu berganti bulan, keadaan kesihatan Azwan masih sama malah gangguan di rumah sewanya juga berlaku hampir saban malam.

Akhirnya selepas mendengar pandangan Halim dan juga keluarganya, Azwan mengambil keputusan untuk bercuti tanpa gaji kerana mahu pulang ke kampung bagi tujuan berehat dan berubat secara tradisional.

Disihir kerana tolak cinta

Bapa Azwan, Haji Azhar tanpa berlengah terus membawa Azwan ke rumah imam masjid di kampung mereka sebaik sahaja dia tiba.

Sebak hati lelaki berusia 71 tahun itu melihat tubuh anak bongsunya yang susut dan cengkung.

Di depan Haji Sudin, Azwan menceritakan kesakitan yang dialaminya termasuklah gangguan aneh yang berlaku saban malam.

Haji Sudin hanya mengangguk-angguk dan membacakan ayat suci al-Quran pada beberapa botol air yang diletakkan di hadapannya.

Menurut Haji Sudin, Azwan berkemungkinan terkena sihir daripada seseorang yang menaruh dendam terhadapnya.

“Mungkin kamu ada membuatkan orang ini sakit hati. Tak apalah Wan, kita berikhtiar ya,” kata Haji Sudin sambil menepuk-nepuk bahu Azwan.

Dia meminta Azwan meminum serta mandi dengan menggunakan air penawar yang dibekalkannya.

Hampir sebulan berubat dengan Haji Sudin, keadaan kesihatan Azwan semakin pulih malah tubuhnya juga tidak susut seperti dahulu.

Azwan nekad mengambil keputusan untuk menghantar surat kepada sekolahnya dan pihak atasan, meminta dipertimbangkan permohonannya untuk bertukar sekolah.

Meskipun Haji Sudin tidak menceritakan lebih lanjut atau mendedahkan gerangan yang menghantar sihir, Azwan tahu ia adalah angkara Diana.

Azwan bersyukur, permohonannya diluluskan meskipun terpaksa menunggu selama beberapa bulan.

Gembira hati Azwan apabila dia ditempatkan di sebuah sekolah di negeri kelahirannya.

Kini, Azwan sudah pun dikurniakan empat cahaya mata hasil perkahwinannya dengan wanita yang dicintainya, Maryam.

Meskipun peristiwa hitam itu sudah hampir 20 tahun berlalu, segala-galanya masih segar dalam ingatan Azwan namun dia memilih untuk tidak berdendam dan memaafkan Diana.

Mesej yang diterima daripada Halim awal pagi semalam, memaklumkan Diana sudah menghembuskan nafas terakhir kerana kemalangan, benar-benar mengejutkan Azwan.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan apa jua yang pernah dilakukannya, aku maafkan dia Ya Allah,” tutur Azwan perlahan sambil membacakan Al-Fatihah buat arwah bekas rakan sekerjanya itu.

BACA: “Abang terkejut cek duit simpanan ibu tak sampai RM180k untuk kebun seluas 30 ekar, pada hari kami adik beradik audit, kak ipar tunjuk belang”