‘Hadi, cukuplah semai politik perpecahan dan kebencian’

‘Hadi, cukuplah semai politik perpecahan dan kebencian’

Minggu lepas, apabila seorang rakan Twitter membuat komen, “Abdul Hadi Awang kata lebih baik Melayu-Islam yang jahat berbanding kafir yang jahat” pada salah satu gambar semasa seorang pemimpin PAS menerima kunjungan hormat delegasi dari parti MIC.

Saya pun tidak begitu percaya, bahawa Abdul Hadi tergamak mengeluarkan kenyaatan sebegitu dan bertanya, “Betulkah beliau bagi kenyataan begitu? Ada link (pautan) tak?”. Beliau memberitahu saya untuk merujuk kepada Twitter presiden PAS itu.

Apabila saya membuka laman Twitter rasmi Presiden PAS, Duta Khas (bertaraf Menteri) ke Timur Tengah, Abdul Hadi Awang, saya telah melihat memang ada ciapan sebegitu dimuat naik pada 10 Jun lalu.

Dalam ciapan itu, Abdul Hadi berkata, “PAS berpegang dengan konsep sejahat-jahat seorang Muslim yang diterima taubatnya oleh Allah SWT, manakala sebaik-baik amalan orang yang tidak beriman akan ditolak juga pada Hari Kiamat nanti”.

Beliau memberi komen sedemikian dalam bebenang (thread) Twitternya bertajuk, Minda Presiden PAS: Politik Berpandukan Hidayah Allah.

Saya tidak mahu mengulas tentang perkara lain yang telah dibincangkan dalam bebenangnya itu, kerana ia bersifat politik sepenuhnya. Beliau menyatakan bahawa ‘PAS mempunyai kaca teropong putih bersih’ yang kononya dapat melihat semua warna.

Saya rasa, ungkapannya itu adalah untuk menjustifikasi kerjasama politik PAS terbaru, iaitu Perikatan Nasional (PN). Sebagai satu pertubuhan politik, PAS ataupun pemimpinnya mempunyai segala kebebasan untuk menyatakan pandangan mereka.

Pandangan pemimpin politik itu akan dinilai oleh rakyat terbanyak, yang akan membuat keputusan dalam medan demokrasi. Itulah lumrah dalam negara yang berasaskan demokrasi berparlimen.

Apa yang saya tidak faham ialah, kenapakah Abdul Hadi perlu setiap kali ‘merendahkan‘ masyarakat bukan Islam dalam kenyataan politiknya itu?

Setelah membaca bebenang presiden PAS itu, saya pun merujuk kepada beberapa artikel di internet. Saya telah membuat sedikit kajian untuk mengetahui kesahihan kenyataan Abdul Hadi itu.

Artikel pertama yang telah saya merujuk, telah bermula dengan ayat “Bismillah al-Rahmani al-Rahim” yang bermaksud “Dengan nama Allah, Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihini”. Tuhan yang Maha Pengasih, akan mengambilkira setiap perbuatan manusia, dalam penghakimanNya, pada Hari Kiamat.

Bagaimanakah seorang manusia boleh membuat kesimpulan bahawa “Manusia berketurunan ini dan itu tidak akan diterima oleh Tuhan?”

Malah, apabila merujuk kepada Surah Al-Maaidah 5:18, yang bermaksud “Orang-orang Yahudi dan Nasrani berkata: “Kami adalah anak-anak Allah dan yang amat disayangiNya”. Katakanlah (wahai Muhammad): “(Kalau betul demikian), maka mengapakah Ia menyeksa kamu dengan sebab dosa-dosa kamu? (Sebenarnya bukanlah sebagaimana yang kamu dakwakan) bahkan kamu semuanya adalah manusia biasa di antara manusia-manusia lain yang diciptakanNya. Ia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendakiNya, demikian juga Ia menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kuasa pemerintahan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya, dan kepada Allah jualah tempat kembali”.

Surah ini digunapakai untuk menafikan hujah bahawa Tuhan menyayangi sesuatu kaum itu lebih daripada yang lain. Adakah Surah ini tidak digunapakai untuk merujuk kepada masyarakat bukan Islam, saya tidak tahu. Yang saya faham adalah, Tuhan yang Maha Pengasih akan mengampunkan sesiapa yang dihendakiNya.

Saya bukanlah seorang yang celik Al-Quran untuk mentafsirkan ayat Surah ini. Tetapi, ini yang saya faham selepas pembacaan berulang-kali sejak seminggu yang lalu. Saya mohon panduan daripada rakan-rakan yang lebih arif dalam bidang ini untuk tunjuk ajar.

Apakah motif Abdul Hadi apabila membuat komen-komen sedemikian? Jika beliau menjustifikasi hubungannya dengan Barisan Nasional, beliau boleh membuat justifikasi itu tanpa merendahkan sesiapa.

Beliau tidak perlu menyatakan pun, bahawa “manakala sebaik-baik amalan orang yang tidak beriman akan ditolak juga pada Hari Kiamat nanti”. Sebagai seorang ulama, kita harap supaya Abdul Hadi menunjukkan contoh yang baik untuk mengeratkan hubungan di antara kaum dan agama di Malaysia.

Saya masih ingat pertemuan saya dengan Allahyarham Tok Guru Nik Aziz di rumahnya di Pulau Melaka, Kelantan. Allahyarham Tok Guru sangat mesra dengan kami, dan menyatakan, “Ini yang Umno takut; apabila orang bukan Islam mendekati dan mengenali PAS.”

Di zaman beliau, orang-orang bukan Islam rasa begitu tertarik dengan cara pimpinannya. Malah apabila beliau meninggal dunia, ramai yang menitiskan air mata, kerana sayang kepada beliau.

Itulah pemimpin Islam yang begitu disenangi, disegani masyarakat bukan Islam, yang tak pernah merendahkan masyarakat bukan Islam dalam apa jua keadaan pun. Cukup berbeza cara Abdul Hadi sekarang.

Apabila kita melihat orang-orang seperti Ustaz Ebit Liew, membantu orang miskin tanpa mengambilkira keturunan atau agama mereka, masyarakat, tak kira Muslim atau bukan Muslim begitu menghargainya dan tidak teragak-agak untuk mendekatinya.

Malah, saya nampak ramai orang bukan Muslim mempertahankan Ustaz Ebit Liew kalau ada orang yang memberi komen negatif tentang beliau.

Ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia menghormati mereka yang mempunyai akhlak dan nilai tinggi, tanpa melihat kepada kaum dan agamanya. Jangan kerana politik, kebencian disemai menggunakan agama, di antara kita yang hidup harmoni.

Saya berharap Abdul Hadi akan menghentikan kenyataan-kenyataan politiknya yang merendahkan orang bukan Islam, dan menunjukkan ketokohan yang boleh dihormati. Abdul Hadi kini sebahagian daripada kerajaan persekutuan, cukuplah dengan politik perpecahan dan kebencian.

Adun Bagan Dalam, Pulau Pinang.

Berita penuh:

https://www.malaysiakini.com/news/530720