Hadi pembohong besar, Mat Sabu bidas kenyataan Duta Khas

Hadi pembohong besar, Mat Sabu bidas kenyataan Duta Khas

HADI AWANG MEMFITNAH KERAJAAN PAKATAN HARAPAN ISU ROHINGYA

Sepanjang bertugas sebagai Menteri Pertahanan di bawah kerajaan Pakatan Harapan, saya kerap mengangkat isu penindasan Umat Islam Rohingya. Dalam perbincangan dengan Menteri-Menteri Pertahanan di kalangan negara-negara ASEAN, saya tekankan bahawa usaha mencari penyelesaian isu kemanusiaan ini adalah satu tanggungjawab bersama.

Malahan, isu ini turut saya timbulkan dalam pertemuan dengan Menteri-Menteri Pertahanan beberapa kuasa-kuasa besar dunia seperti Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Menteri Pertahanan Britain, Perancis, Jerman, Rusia dan China. Saya menyeru mereka untuk sama-sama mencari jalan penyelesaian yang terbaik untuk menyelamatkan rakyat Rohingya yang dihalau keluar dari tanahair mereka.

Saya juga telah menyuarakan kepada Menteri Pertahanan Qatar untuk negaranya memainkan peranan yang lebih besar dan menghulurkan lebih banyak bantuan kepada pelarian perang Rohingya. Saya turut mengajak mereka untuk turut sama membantu operasi Hospital Medan Malaysia di Kem Pelarian Cox’s Bazar, Bangladesh.

Oleh itu, tuduhan Presiden PAS, Haji Abdul Hadi Awang bahawa Kerajaan Pakatan Harapan tidak mempedulikan isu pelarian perang Muslim Rohingya merupakan satu pembohongan yang cukup besar.

Terkini, agensi berita antarabangsa melaporkan bahawa bot pelarian Rohingya dihalau dari perairan Malaysia dan telah menyebabkan kemalangan jiwa hampir 30 orang. Tragedi ini berlaku semasa pemerintahan Perikatan Nasional yang turut dianggotai PAS.

Mengapa Hadi Awang sanggup berbohong tentang isu ini sedangkan saya sebagai Menteri Pertahanan Malaysia ketika itu dan Tun Mahathir selaku Perdana Menteri amat lantang menyuarakan pembelaan terhadap Umat Islam Rohingya dan pelarian Rohingya secara amnya yang ditindas oleh kerajaan zalim Myanmar pimpinan Aung San Suu Kyi.

YB TN. HJ. MOHAMAD SABU
PRESIDEN PARTI AMANAH NEGARA