Hadi tambah koleksi haiwan dalam ucapan, terkini ‘tikus’ pula

Hadi tambah koleksi haiwan dalam ucapan, terkini ‘tikus’ pula

Bermacam jenis binatang sudah Datuk Seri Abdul Hadi Awang gunakan dalam menyindir dan menyerang musuh politiknya.

Muktamar Pas ke-66 di Dewan Pusat Tarbiah Islam Kelantan (PUTIK), Kota Bharu hari ini menyaksikan Presiden parti itu menggunakan perumpamaan tikus yang berada dalam kepuk padi dan semut yang mati dalam gula.

Menurutnya, Pas tidak pernah rugi dalam semua kerjasama politik selagi beristiqamah dengan Islam.

Sebaliknya, kata Abdul Hadi dalam ucapan dasar perasmian muktamar itu, pihak yang meninggalkan Pas sebenarnya rugi.

“Insya-Allah kita tidak menjadi laksana tikus yang berada dalam kepuk padi atau semut yang mati dalam gula, tidak seperti mereka yang tidak beristiqamah melompat dan melarikan diri daripada Pas sebagai sebuah parti Islam,” tegasnya.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, Pas bertanggungjawab di bawah Kementerian, GLC dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta mempunyai kerusi di beberapa negeri tanpa terlibat dalam kerajaan secara langsung.

“Semua lapangan ini memberi peluang kepada kita dengan kadar yang terhad. Para ulama’ menetapkan kaedah: Apa yang kita tidak dapat semuanya, jangan
ditinggalkan semuanya.”

“Sekalipun kita tidak mencapai ke peringkat Tamkin (berkuasa sepenuhnya) dan masih belum berpuas hati, namun semua ahli Pas yang berada di tempat masing-masing hendaklah menjalankan tugas masing-masing, dengan berperanan membawa risalah Islam yang kita tegakkan.

“Sekurang-kurangnya menjadi teladan yang baik dari segi syakhsiah (integriti) dan
kemampuan dalam melaksanakan tugas dengan jayanya,” ujarnya lagi dalam muktamar tahun pertama Pas menjadi ahli gabungan blok kerajaan.

Muktamar Tahunan Pas kali ke-66 ini memilih tema ‘Islam Memperkukuh Perpaduan’.

Berita penuh : https://malaysiareaders.com/lagi-hadi-guna-nama-binatang-kali-ini-tikus-dalam-kepuk-padi-pula/