Hak dan kebajikan pekerja wanita harus terus dibela

Hak dan kebajikan pekerja wanita harus terus dibela

Hari Pekerja tahun ini disambut dalam keadaan yang belum pernah kita alami sebelum ini. Wabak penyakit Covid-19 yang melanda seluruh dunia termasuk Malaysia memberi kesan yang besar kepada kehidupan khususnya kepada ramai golongan pekerja.

Pelbagai cabaran kita hadapi ; ada yang terus bekerja seperti petugas di barisan hadapan dengan suasana yang begitu mencabar, ada yang terpaksa bekerja dari rumah , ada yang berhadapan kekurangan pendapatan akibat pemotongan gaji dan tak kurang juga yang hilang pekerjaan dan mata pencarian.

Sejarah Sambutan Hari Pekerja adalah bagi memperingati perjuangan golongan buruh termasuk wanita dan kanak-kanak yang dinafikan hak-hak mereka. Ajaran Islam begitu mementingkan golongan pekerja termasuk menjaga hak-hak mereka sebagaimana yang disabdakan Rasulullah SAW.

‎أَعْطُوا الأَجِيرَ أَجْرَهُ قَبْلَ أَنْ يَجِفَّ عَرَقُهُ

“Berikan kepada seorang pekerja upahnya sebelum peluhnya kering.” (HR. Ibnu Majah, shahih).

Dalam konteks pekerja hari ini pemberian hak dan keadilan ini perlu diberikan kepada semua tanpa diskriminasi gender , umur mahupun warna kulit.

Statistik menunjukkan penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan negara ini adalah ditahap 54.7% berbanding kaum lelaki pada kadar 80.7%. Namun lebih kurang separuh daripada kesemua profesional dan pekerja teknikal adalah wanita. Sebaliknya hanya 22.2 peratus wanita yang menyandang jawatan tertinggi di peringkat pengurusan. Sementara dari sudut gaji , wanita memperolehi RM9.38 bagi setiap RM10 yang diperolehi lelaki.

Bagi pekerja isu-isu penjagaan anak-anak , tekanan di tempat kerja dan keseimbangan hidup berkerjaya dan bekeluarga adalah cabaran yang perlu terus diambil perhatian. Cukuplah dengan satu kes kehilangan jiwa seorang doktor wanita dan bayinya yang maut akibat kemalangan jalanraya ketika menjalankan tugas di Kelantan sewaktu PKP ini sebagai satu muhasabah penting kepada pihak Kerajaan dan agensinya yang membuat polisi untuk sentiasa memikirkan solusi terbaik kepada golongan pekerja di negara ini.

Hakikat yang pasti selepas PKP adalah golongan pekerja perlu menghadapi hari-hari mendatang dengan budaya dan norma baharu termasuk dalam cara kita melakukan pekerjaan. Namun apa yang perlu diteruskan adalah pembelaan dan sokongan kepada pekerja termasuk pekerja wanita dan golongan yang terpinggir dan berkeperluan khas seperti OKU dan lain-lain.

Semoga Negara Malaysia dapat keluar dari masalah kesihatan Covid-19 dan cabaran sosioekonomi yang menyusul bersamanya.

Selamat Hari Pekerja

Dr Hafidzah Mustakim
Pengerusi Mawar-Yadim

Sumber :