KPDNHEP sentiasa memberi perhatian dan memandang serius isu-isu kepenggunaan yang dihadapi oleh rakyat, begitu juga dengan kes-kes penipuan pakej pelancongan yang sering berlaku sejak kebelakangan ini.
Mangsa penipuan telah membelanjakan ribuan ringgit, hanya untuk terkejut apabila mendapati perjalanan terpaksa dibatalkan sebelum tarikh penerbangan, syarikat pelancongan telah digulungkan, perkhidmatan yang ditawarkan tidak seperti yang dijanjikan serta lain-lain masalah.
Pengguna boleh memfailkan tuntutan dengan cara yang mudah, murah dan cepat dengan bayaran pemfailan tuntutan sebanyak RM5.00 sahaja. TTPM akan mendengar dan memutuskan tuntutan pengguna secara bebas dan adil.
Jumlah pemfailan tuntutan tebus rugi untuk penipuan pakej pelancongan bagi tahun 2016 sehingga 31 Mei 2019 ialah 1,057 kes di TTPM yang melibatkan jumlah tuntutan sebanyak RM6.6 juta. Daripada jumlah itu, sebanyak RM3.1 juta pampasan telah dikeluarkan.
KPDNHEP berharap usaha ini akan memberi kesedaran kepada masyarakat supaya jangan terpedaya dengan pakej pelancongan yang ditawarkan dari syarikat pelancongan yang tidak berlesen serta membuat semakan nama agensi pelancongan yang berdaftar terlebih dahulu.
Memahami keadaan ini, KPDNHEP mengalakkan pihak-pihak yang terlibat untuk membuat pemfailan tuntutan di mana-mana Pejabat Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di seluruh negara yang bersedia memberikan bantuan mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999.