Fungsi lampu suluh tinggi (high beam) yang ada pada setiap kenderaan adalah untuk kegunaan ketika tiada kenderaan di hadapan
sama ada dari arah bertentangan atau halaun sama sewaktu menyusuri jalan gelap.
Pun begitu, masih ada segelintir pemandu yang tidak tahu waktu yang sesuai untuk menggunakan lampu suluh tinggi ini
sehingga mewujudkan situasi silau atau buta seketika kepada pemandu yang lain.
Selain ‘high beam’, ada pula sesetengah pemandu yang mengubah suai kenderaan mereka dengan menggunakan lampu jenis High Intensity Discharge (HID)
OEM atau bukan dari kilang yang kebiasaannya akan menganggu pengguna jalan raya yang lain kerana ia menyebabkan pandangan menjadi silau.
Seperti baru-baru ini, tular di media sosial satu rakaman ‘dashcam’ yang memaparkan sebuah kereta didakwa menggunakan ‘high beam’ pada tempat dan waktu yang tidak sepatutnya.
Menerusi hantaran video yang dimuat naik di akaun TikTok @kekdee, kelihatan kereta jenis Perodua Axia berwarna kuning itu menyalakan lampu putih yang sangat terang sepanjang jalan sehingga menganggu pemandu yang lain.
“Dia tak fikir ke high beam ni buat sakit mata? Nanti bila dah kena ‘high beam balik tahu marah, nanti kalau orang tegur tak boleh terima,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Susulan itu, seorang pemandu lelaki yang terganggu dengan lampu terbabit telah bertindak memberikan ‘high beam’ kepada pemandu Axia berkenaan semasa dia mengekorinya daripada belakang.
Tindakan terbabit dilakukan untuk menyedarkan pemandu berkenaan bahawa penggunaan lampu tinggi itu telah menyebabkan pemandangan pengguna jalan raya yang lain menjadi silau.
“Haa macam ini kau tembak (high beam) orang, macam ini aku bagi balik. Itu ubat aku bagi dekat kau,” kata pemandu lelaki itu.
Dalam video terbabit, kelihatan pemandu Axia berkenaan mengubah laluannya ke kiri dipercayai kerana pandangannya menjadi silau dengan lampu tinggi yang diberikan oleh lelaki terbabit.
Pun begitu, tidak dapat dipastikan sama ada pemandu Axia itu sememangnya menyalakan ‘high beam’ atau telah menukarkan lampu keretanya kepada jenis HID.
Kepada semua pemandu di luar sana, tolong jangan pentingkan diri dengan guna lampu HID atau beri ‘high beam’ sepanjang jalan, kesian kepada pengguna jalan raya yang lain kerana sakit mata dan silau.
Keadaan silau yang teruk juga boleh menyebabkan kemalangan.