Hanya ada 5 orang di M’sia punyai kepakaran sehebat Ketua Pemuda Pas – MB Kedah

Hanya ada 5 orang di M’sia punyai kepakaran sehebat Ketua Pemuda Pas – MB Kedah

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan menjadi suatu kerugian buat pihaknya jika kepakaran yang ada pada Ketua Pemuda PAS Khairil Nizam Khirudin dibiarkan saja tanpa diberikan tempat sewajarnya.

Berdepan dengan kritikan dan sindiran kerana membawa Khairil Nizam menjadi sebahagian daripada pegawai atasan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Kedah, Sanusi berkata, pelantikan berkenaan bukan dibuat kerana jawatan dalam parti.

Sebaliknya kata Sanusi, kerajaan negeri memberi tempat kepada Khairil Nizam kerana kepakaran dan profesionalisme yang ada padanya.

Malah Sanusi mendakwa pakar yang menguasai kemahiran seperti dimiliki Khairil Nizam itu juga terhad di negara ini.

“Saya mengesahkan Ir Khairil Nizam Khirudin dilantik, saya nak perkenalkan beliau dalam bidang safety (keselamatan), dia jurutera oil and gas.

“Saya difahamkan, kepakaran yang ada pada Khairil Nizam ini di Malaysia ada lima (orang) saja,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman, Alor Setar hari ini.

Ia disiarkan secara langsung di Facebook Sanusi.

Semasa Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan, pemimpin PAS antara pihak yang mengecam Putrajaya kerana melantik segelintir pemimpin parti ke jawatan tertentu dalam GLC.

Rugi kalau dibiarkan

Bagaimanapun PH menjelaskan sesetengah lantikan tersebut bukanlah ke dalam GLC sebaliknya badan-badan berkanun. Untuk jawatan GLC pula, sebahagian besar daripada mereka terdiri daripada golongan profesional.

Keadaan berubah selepas kemunculan Perikatan Nasional apabila seorang demi seorang ahli parlimen kerajaan mendapat tempat dalam pelbagai GLC.

Ia disindir sebagai pelaksanaan dasar “scheme of things” yang dibawa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Pada sidang media sama, Sanusi turut membayangkan pelantikanKhairil Nizam itu adalah permulaan kepada lebih banyak langkah membawa pemimpin PAS ke dalam kerajaan.

Kata Adun Jeneri itu ramai orang yang berbakat dan hebat dalam PAS akan diperkenalkan kepada orang ramai selepas ini untuk menyumbang kepada kerajaan negeri.

Menurut Sanusi dia memerlukan sedikit masa lagi sebelum melakukan pelantikan tersebut.

“Rugilah kalau kita biar orang-orang yang hebat tak diberi tempat yang sewajarnya oleh kerana dia pegang jawatan dalam parti,” katanya.

Menurut Sanusi Khairil Nizam dilantik sebagai anggota Lembaga Pengarah Bina Darulaman Berhad pada 6 Sept lalu.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/541947