Hanya kerana tali layang layang, helikopter terhempas

Oleh AHMAD YUSOF MUSTAPHA

Dua warga Australia dan tiga rakyat Indonesia terselamat dalam nahas helikopter di Kuta Selatan, Badung, Bali, Indonesia, petang semalam.

Menurut Jakarta Post, nahas berlaku setelah helikopter tersebut tersangkut tali layang-layang.

Jurucakap agensi mencari dan menyelamat Denpasar, Nyoman Sidakarya, berkata helikopter tersebut berlepas dari Garuda Wisnu Kencana

untuk melakukan tinjauan sekitar Bali pada pukul 2.33 petang, tetapi dilaporkan terhempas lima minit kemudian di kampung Pecatu.

Juruterbang, anak kapal, dan seorang penumpang yang kesemuanya warga Indonesia, serta dua penumpang warga Australia, cedera dalam kejadian itu sebelum dikejarkan ke hospital.

Hanya kerana tali layang layang, helikopter terhempas

“Semua mangsa terselamat dan dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” kata Sidakarya.

Menurut agensi berita Xinhua, dua individu mengalami kecederaan serius, manakala tiga lagi cedera ringan.

Sementara itu, jurucakap Direktorat Kanan Pengangkutan Udara dan Kementerian Pengangkutan, dalam satu kenyataan, berkata kejadian tersebut berlaku selepas helikopter jenis PK-WSP Bell 505 milik PT Whitesky Aviation tersangkut dengan tali layang-layang.

“Kami menerima laporan bahawa kemalangan ini disebabkan helikopter tersangkut dengan tali layang-layang,” kata Khusnu.

Khusnu menambah kementerian akan meningkatkan pemantauan mengenai bahaya layang-layang dan bekerjasama dengan pihak pentadbiran Bali untuk memastikan keselamatan penerbangan terjaga.

BACA: Gara-gara merokok, Atlet gimnastik Jepun disingkir sertai Olimpik