Bayangkan, wang simpanan hasil titik peluh yang dirancang untuk digunakan selepas persaraan hilang sekelip mata akibat terjerat dalam penipuan dalam talian.
Begitulah nasib yang menimpa seorang pemandu e-hailing wanita berusia 62 tahun, seperti yang dikongsikan di laman X oleh pemilik akaun @nuriyliamalek.
“Iylia tempah melalui satu aplikasi. Pemandu wanita berusia 62 tahun ini baru sahaja bersara.
Malangnya, beliau terkena scam kerana mengklik pautan semasa mendaftar untuk e-hailing.
“Kasihan sangat. Bayangkan pada usia 62 tahun, selepas bersara, semua simpanan hilang begitu sahaja,” kongsinya dalam satu bebenang di laman sosial tersebut.
Menurutnya, kejadian ini bermula apabila wanita tersebut mengklik pautan yang diberikan melalui aplikasi WhatsApp semasa hendak mendaftar e-hailing.
“Pautan itu diberikan melalui WhatsApp untuk mendaftar dan membuat pembayaran. Apabila wanita ini bertanya sama ada boleh menggunakan perbankan dalam talian, scammer tersebut berkata tidak, hanya klik pautan ini dan transfer di situ.
“Pautan itu nampak seperti halaman laman web perbankan. Setelah memasukkan username dan password, akaun bank wanita tersebut terus digodam,” tambahnya.
Akibat kehilangan wang simpanan, pesara sektor swasta itu terpaksa berjimat-cermat.
“Terpaksa keluar rumah dan mengawal perbelanjaan. Ya Allah, menitik air mata. Suara wanita ini sudah sebak dan serak. Semoga Allah memudahkan urusannya.
“Tolong ingatkan ibu bapa kita untuk berhati-hati dengan pautan-pautan ini.
“Sebelum turun tadi, Iylia berkongsi rezeki Jumaat dengan wanita ini melalui koleksi Iyliamalek. Kebetulan baru balik dari berjumpa tailor.
“Wanita ini tak putus-putus berdoa untuk Iylia, ‘Murah rezeki adik, murah rezeki adik’. Menitik air mata dekat situ juga,” kongsinya lagi.
Sehingga kini, perkongsiannya telah meraih 4,100 ulang kicau (retweet) dan dibanjiri dengan komen netizen.
Beberapa netizen berkongsi pengalaman mereka atau ahli keluarga yang turut menjadi mangsa penipuan sehingga kerugian puluhan ribu ringgit.
Antara komen netizen terhadap perkongsian tersebut:
“Sama dengan mak saya. Habis simpanan dia. Hampir RM45,000. Tidak ada air mata, reda je.
“Ayah saya pun kena. Tahun depan baru nak pencen. RM65,000 hangus kerana scam konon daripada polis Bukit Aman. Allahu, luluh hati bila tahu. Sedih sebab tidak dapat melindungi ayah.
“Mak mentua saya pula tidak melalui pautan tetapi tertipu dengan panggilan dan ugutan kononnya ada hutang, kalau tidak bayar kena naik mahkamah dan tangkapan. Habis berbelas-belas ribu dalam sehari,” komen netizen.
BACA: Netizen dakwa DBKL ‘backup’ kedai warga asing, sekali Menteri buka mulut buka cerita