Harga siling RON95 ditetapkan pada RM2.05 seliter

Harga siling RON95 ditetapkan pada RM2.05 seliter

Kerajaan hari ini mengumumkan penetapan had harga siling bagi petrol RON95 dan diesel, masing-masing sebanyak RM2.05 dan RM2.15 seliter.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Aziz berkata langkah ini bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga minyak yang ketara apabila harga sebenar minyak di pasaran global meningkat.

“Kerajaan akan menampung perbezaan harga pasaran sebenar dengan harga runcit yang ditetapkan secara mingguan melalui peruntukan subsidi.

“Keputusan ini diambil berdasarkan trend harga pasaran sebenar produk petroleum yang semakin meningkat susulan peningkatan permintaan minyak mentah dunia yang turut dipengaruhi oleh pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi di seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan media.

Menurutnya, paras harga siling berkenaan adalah lebih rendah berbanding had harga yang telah dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu pada tahun 2019 iaitu RM2.08 seliter bagi petrol RON95 dan RM2.18 seliter bagi diesel.

“Kerajaan tetap komited untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat dan akan sentiasa memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi mengimbangi tanggungan subsidi Kerajaan,” katanya.

Kejatuhan harga minyak tahun lalu memberi kesan yang besar kepada ekonomi.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mustapa Mohamad berkata kerajaan kerugian RM300 juta bagi setiap penurunan harga minyak AS $ 1 setong.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/562515