Hasnul kerap tukar ‘pendirian’ – Peja

Hasnul kerap tukar ‘pendirian’ – Peja

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu membidas sikap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim yang kerap bertukar ‘pendirian’ parti sejak lapan bulan lalu.

Menyifatkan tindakan ADUN Bersatu itu menunjukkan ‘kualiti’ sebenar dimiliki beliau, Ahmad Faizal yang juga bekas Menteri Besar Perak turut menempelak Hasnul Zulkarnain sebagai ‘orang yang terlalu pandai bercakap’.
Beliau turut mengenepikan dakwaan Hasnul Zulkarnain kononnya Bersatu Perak tidak pernah melibatkan beliau dalam sebarang gerak kerja parti di peringkat akar umbi dan negeri.

“Apabila kita menjadi ahli sesebuah parti, kita tidak boleh harap parti akan menatang kita, sebaliknya kita yang perlu menatang perjuangan parti.

“Kita yang perlu menatang perjuangan parti, kita yang perlu mendambakan diri kepada perjuangan parti… bukan parti itu yang akan mengangkat kita sebagai pemimpin.

“Sebagai seorang pemimpin yang bertukar pendirian daripada sebuah parti ke parti lain dalam masa lapan bulan, itu menunjukkan ‘kualiti’ yang ada pada seseorang itu. Itu saya selalu pesan, jangan terlalu bagi sokongan kepada orang terlalu pandai bercakap,”katanya melalui sesi wawancara eksklusif bersama Sinar Harian di kediamannya, di sini pada Selasa.

Semalam, Hasnul Zulkarnain dilaporkan mengaku memberi sokongan kepada Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak lebih awal berbanding ADUN Bersatu yang lain.

Beliau berkata, akuan bersumpah (SD) yang menyokong Saarani itu ditandatangani selepas sahaja usul undi percaya terhadap Menteri Besar Perak gagal mendapat sokongan majoriti ADUN di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Disember lalu.

Hasnul Zulkarnain turut menegaskan tindakan itu dibuat lebih awal kerana percaya kesemua ADUN Bersatu dan UMNO akan tetap menandatangani SD menyokong ADUN Kota Tampan itu menjadi Menteri Besar Perak yang baharu.

Pada 8 Disember lalu, Hasnul Zulkarnain menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berseorangan bagi menyerahkan SD menyokong Saarani sebagai Menteri Besar Perak.

Sementara itu, Hasnul Zulkarnain turut mengakui tidak mendapat tempat di dalam Bersatu Perak dan di peringkat bahagian.
Sebelum menyertai Bersatu pada bulan Mac lalu, Hasnul Zulkarnain sebelum itu merupakan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Nasional dan dilantik sebagai Exco Komunikasi Multimedia dan NGO Perak sewaktu pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Hasnul Zulkarnain juga pernah mencetuskan kegemparan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan sewaktu beliau dilantik sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Perak (Pafa) pada tahun 2018.
Beliau dikecam apabila bertindak kurang sopan dengan meletakkan Piala Malaysia yang dimenangi pasukan Liga Super Perak pada tahun itu, pada celah kelangkangnya, sekali gus menyebabkan beliau terpaksa meletak jawatan itu.

Berita penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/115143/BERITA/Politik/Peja-bidas-Hasnul-asyik-tukar-pendirian-parti