Hati-hati bila tengah camping tiba-tiba bau hamis, orang asli kongsi ilmu hutan ramai tak tahu

Oleh SHUHADA BUSTAMAN

Aktiviti perkhemahan di hutan semakin mendapat tempat, terutamanya dalam kalangan anak muda yang ingin merasai pengalaman berbeza dengan alam semula jadi.

Namun, kebanyakan daripada mereka kurang pengetahuan tentang bagaimana bertindak apabila berhadapan

Dengan situasi mencabar di dalam hutan, terutama sekali jika terserempak dengan haiwan berbisa atau makhluk halus.

Berikut adalah beberapa petua berguna yang dikongsi di laman sosial untuk memastikan keselamatan anda ketika berada di dalam hutan:

Berhadapan dengan Ular Tedung

Hati-hati bila tengah camping tiba-tiba bau hamis, orang asli kongsi ilmu hutan ramai tak tahu
Jika anda bertemu dengan ular tedung, elakkan sebarang pergerakan mendadak. Sebaliknya, hentikan langkah dan perlahan-lahan undur ke belakang.

Ular tedung cenderung untuk mematuk ketika kepalanya sedang sedikit terangkat, bukan ketika kepalanya membesar sepenuhnya.

Petua ini dipelajari daripada orang-orang asli, yang menggunakan ranting kayu untuk ‘mengacah’ ular bagi membuatkan ia mengembangkan kepala, sekaligus memberi ruang untuk anda melangkah pergi.

Suasana Hutan Tiba-Tiba Sunyi

Ketika berjalan di dalam hutan, jika tiba-tiba keadaan menjadi terlalu sunyi dan anda terhidu bau yang kuat, seperti bau hamis, ini adalah petanda bahawa terdapat harimau atau beruang di sekitar. Dalam situasi ini, sebaiknya, bakar mercun bola untuk menghalau haiwan besar tersebut. Petua ini berasal dari amalan orang asli yang telah lama hidup dalam harmoni dengan alam.

Beruang Madu

Beruang madu biasanya ditemui di kawasan hutan paya. Jika anda berjumpa dengan beruang madu, petua orang asli menyarankan supaya anda menjerit dan melakukan gerakan seperti ingin mengejar beruang itu. Ini akan menakutkan beruang dan menyebabkan ia beredar dari kawasan tersebut.

Pengurusan Makanan

Makanan yang dimasak seperti ikan atau ayam bakar harus dimakan sepenuhnya.

Jika tidak, sebaiknya tanam atau hanyutkan sisa makanan tersebut di dalam air. Ini kerana sisa makanan boleh menarik perhatian haiwan liar seperti beruang, kera, dan gajah yang mungkin datang untuk mencari makanan.

Pengambilan Air

Untuk memasak air, elakkan mengambil air dari kawasan tepi sungai.

Sebaliknya, carilah sumber air yang mengalir deras di bahagian tengah sungai. Ini mengelakkan risiko tercemar dengan kencing tikus atau haiwan lain yang mungkin bersembunyi di kawasan tepi sungai.

Dengan memahami petua-petua ini, anda dapat menjalani pengalaman perkhemahan di hutan dengan lebih selamat dan menikmati keindahan alam tanpa kebimbangan. Sentiasa berwaspada dan berpengetahuan, agar perjalanan anda berjalan lancar dan menyeronokkan.

BACA: ‘Pas tak sokong BN di bawah Najib’ – Kenyataan Takiyuddin tahun 2020 disindir netizen