‘Health tag’ tidak dapat cegah Covid-19 pun

‘Health tag’ tidak dapat cegah Covid-19 pun

Pusat Racun Negara hari ini menyangkal dakwaan penggunaan ‘health tag’, yang digunakan untuk menggantung kad nama di baju, boleh mencegah jangkitan Covid-19.

Pusat Racun Negara berkata berdasarkan kajian khusus yang dibuat dan diterbitkan pada Julai 2017, produk seumpama itu membebaskan gas klorin dioksida yang sangat rendah, dan malah tak dapat dikesan, dan tiada impak dalam pembasmian bakteria atau virus.

“Dapatan (kajian) menunjukkan pemakaian ‘health tag’ adalah tidak berkesan untuk mencegah jangkitan kuman atau virus sedia ada, apatah lagi Covid-19.

“Gas klorin dioksida merupakan gas yang bersifat merengsa terutama kepada saluran pernafasan, bergantung kepada kuantiti dan kepekatan gas yang terdedah.

“Apa yang lebih dibimbangi adalah kepercayaan pengguna terhadap produk ini akan menyebabkan mereka merasakan selamat dan dilindungi daripada jangkitan.

“Akibatnya pemakai mungkin akan bersikap kurang berhati-hati dan tidak mengamalkan kaedah pencegahan yang terbukti berkesan seperti kerap membasuh tangan dan penjarakkan sosial,” kata Pusat Racun Negara dalam satu kenyataan di Facebook.

Pusat Racun Negara tidak menamakan jenama produk tersebut, bagaimanapun difahamkan ia kini tular di media sosial, dan boleh dibeli secara atas talian serta sekurang-kurangnya satu rangkaian farmasi utama.

Penggunaan ‘health tag’ dilaporkan mengandungi bahan kimia klorin dioksida dan dikatakan mampu menghapuskan virus dan bakteria dalam radius satu meter daripada pemakainya.

Ia juga didakwa mampu bertahan selama 45 hari selepas dibuka.

Ia juga tular selepas ada pihak yang menyebarkan gambar yang dikatakan menunjukkan produk itu dipakai beberapa ahli politik.

Antaranya termasuk Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob, bekas perdana menteri Najib Razak, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, dan Dr Siti Hasmah Ali.

Bagaimanapun Malaysiakini tidak dapat mengesahkan kebenaran foto tersebut.

 

Sumber : https://www.malaysiakini.com/news/517755