Tindakan seorang wanita menyimpan baju kakaknya yang telah meninggal dunia tanpa dibasuh selama lima tahun mengundang padah apabila dia sering berasa sakit dan tidak keruan.
Kisah ini diceritakan oleh seorang tukang mandi jenazah, Lasminah Dul Siraj, dalam sebuah temu bual yang disiarkan di laman YouTube.
Menurut Lasminah, pada mulanya wanita itu tidak mengaku mengambil barangan tertentu,
tetapi kemudian mendedahkan bahawa dia telah menyimpan baju arwah kakaknya tanpa dibasuh di dalam bantal.
“Acik cakap, ‘buka sekarang (bantal) dan masukkan ke dalam mesin basuh, basuh, sidai dan setelah kering, masukkan semula (dalam bantal),’” kata Lasminah.
Setelah mengikuti nasihat itu, wanita tersebut pergi ke hospital untuk pemeriksaan dan mendapati dia menghidap kencing manis, sering demam, dan tidak keruan.
Lasminah, yang berpengalaman bertahun-tahun dalam menguruskan jenazah, menjelaskan bahawa pakaian orang yang telah meninggal dunia, yang masih mempunyai kesan bau badan dan peluh, harus dibasuh terlebih dahulu sebelum disimpan sebagai kenangan.
“Baju yang ada peluh dari hospital, jangan sesekali ambil dan simpan. Boleh ambil dan simpan, tapi basuh dulu. Kalau tidak, ‘benda’ itu akan kejar. Contohnya, jika kakak atau ibu meninggal dunia dan kita ambil pakaian mereka buat kenangan. Pada awalnya, kamu mungkin sihat, tetapi selepas dua atau tiga tahun, kamu mula sakit.
“Kamu akan rasa seram sejuk, sakit tak tentu arah. Pergi hospital, tapi tidak dapat kesan penyakit,” tambah Lasminah.