Projek pembinaan Hospital Baharu Parit Buntar berjalan lancar dan dijangka siap pada Disember 2021, kata Ahli Parlimen Parit Buntar.
Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata projek itu ditunggu-tunggu oleh rakyat kawasan tersebut sejak 2018, dan apabila siap ia bakal memberikan kemudahan kepada rakyat di sini.
“Saya telah diberikan taklimat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) mengenai projek hospital itu yang mengandungi 76 katil dan saya berpuas hati, kerana ia berjalan mengikut jadual.
“Walaupun kemajuan projek ini masih lapan peratus, tetapi saya yakin ia dapat disiapkan mengikut jadual,” katanya dalam sidang media selepas melakukan lawatan kerja di tapak hospital baharu Parit Buntar, di Kampung Tanah Kebun dekat sini hari ini.
Mujahid berkata apabila siapnya hospital yang bernilai RM130 juta itu, dapat memberikan kemudahan kepada penduduk di Bagan Serai, Parit buntar dan Nibong Tebal.
Menurut Mujahid sebelum ini penduduk di Parit Buntar mendapatkan rawatan pakar di Hospital Taiping dan ini menyulitkan mereka untuk ke kawasan itu.
Projek pembinaan Hospital Parit Buntar membabitkan fasa pertama dengan pembinaan bangunan empat tingkat di kawasan seluas 5.59 hektar, daripada 21.67 hektar kawasan keluasan keseluruhan projek berkenaan.
— BERNAMA
Sumber : http://www.bernama.com/state-news/beritabm.php?id=1792061