Penduduk dikejutkan dengan berita kemunculan sebuah vila misteri yang tiba-tiba terdampar di sebuah pantai di Costa de Sol, El Salvador.
Kewujudan vila itu secara tiba-tiba di Pantai La Puntilla baru-baru ini telah membuatkan para penduduk bingung dan keliru.
Terdapat persoalan yang sangat misteri bermain di fikiran mereka, iaitu bagaimana vila tersebut boleh berada di situ dan terdampar di pantai.
Keadaan vila itu sangat usang dan rosak di sana-sini, namun tiada sesiapa yang mengetahui bagaimana vila itu tiba-tiba muncul di pantai yang selalu dikunjungi orang awam tanpa disedari oleh sesiapapun.
Terdapat sumber kuat dari beberapa penduduk tempatan yang mendakwa vila itu adalah sebuah hotel yang dikenali sebagai Hotel Puerto Ventura kira-kira 28 tahun lalu.
Teori itu diperkuatkan lagi dengan dakwaan bahawa vila itu ‘hilang’ kerana dihanyutkan ke tengah laut dalam bencana taufan Mitch yang melanda El Salvador lebih 20 tahun yang lalu dan mengorbankan lebih 9000 nyawa pada tahun 1998.
Hotel Puerto Ventura yang didirikan berpuluh tahun dahulu dibina hanya beberapa meter dari laut, yang menguatkan kemungkinan bahawa ia musnah disebabkan oleh ombak laut taufan. Dan kemungkinan secara kebetulan, selepas 28 tahun, ia dihanyutkan semula ke pantai tersebut.
“Mereka membinanya terlalu dekat dengan pantai. Mereka juga tidak membuat permohonan rasmi kepada pihak berkuasa untuk membinanya dan itulah akibatnya,” kata seorang penduduk tempatan.
Vila tersebut kini menjadi salah satu daya tarikan pelancong luar ke pantai tersebut, dan kebanyakan pengunjung ingin mengambil foto dengan latar belakang vila tersebut sehingga ada yang memanjat ke atas vila tersebut.
Walaupun begitu, penduduk tempatan sebenarnya tidak berani mendekati vila tersebut, apatah lagi memasukinya kerana takut. Selain itu, terdapat beberapa kisah seram mengenai vila tersebut yang turut membuatkan penduduk tempatan menjauhinya.
Menurut seorang penduduk tempatan, seorang lelaki berkulit gelap tidak dikenali pernah dilihat berkeliaran di sekitar vila tersebut, malah beberapa kanak-kanak memberitahu mereka bahawa mereka melihat lelaki tersebut pada waktu malam tanpa diketahui motifnya.