Ibrahim Ali cadang isytihar darurat, bentuk kerajaan mageran

Ibrahim Ali cadang isytihar darurat, bentuk kerajaan mageran

CADANGAN supaya pengisytiharan darurat dengan mewujudkan Majlis Gerakan Negara (Mageran) adalah bagi membentuk semula struktur politik negara.

Pelaksanaan langkah berkenaan adalah jika Yang di-Pertuan Agong benar-benar melaksanakan darurat bertempoh susulan kemelut politik dan perebutan kuasa.

Penstrukturan politik itu juga adalah bertujuan memberi nafas baharu dengan membentuk dua blok dalam Dewan Rakyat.

Walaupun, berbagai-bagai parti ditubuhkan, namun pimpinannya perlu menentukan untuk berada pada salah satu blok sahaja.

“Bila kita diisytihar darurat, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa melantik Mageran (Majlis Gerakan Negara) seperti 13 Mei.

“Sudah sampai masanya mungkin di zaman Mageran, sama-sama berfikir, semua golongan berkepentingan boleh duduk bersama dan berbincang.

“Apakah mungkin selepas Mageran ditarik, kita mula memperkenalkan agenda, minda baharu politik negara iaitu sistem dua parti seperti di Amerika Syarikat, United Kingdom.

“Ada dua blok sahaja, parti politik boleh ditubuh sebanyak yang boleh tetapi ada dalam dua blok sahaja.

“Dalam kempen politik, dua-dua blok ini diharamkan bercakap soal mempersendakan soal agama, sensitiviti kaum, kita bersetuju.”

Kata Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Datuk Dr. Ibrahim Ali dalam sidang akhbar yang diadakan petang tadi di ibu pejabat partinya.

Beliau juga mencadangkan demikian supaya kempen politik hanya boleh mengenengahkan the good governance, kerajaan berwibawa, berintegriti, bermoral dan berakhlak mulia.

Katanya, jika penstrukturan politik dilakukan, calon yang hebat biarlah dipilih sendiri oleh rakyat, tidak lagi atas dasar retorik pemimpin parti politik.

Tambah Ibrahim, antara kebaikan lain yang boleh dilihat adalah tiada lagi pihak yang akan menggunakan platform seperti agama dan bangsa untuk mendapat sokongan.

“Ada yang guna Islam sebaga platform, jual Islam. Ada yang jual bangsa untuk dapat sokongan, ada yang jual kaum masing-masing.

“Jadi, ini tidak berkesudahan dan tidak baik pada negara. Jadi gunakanlah masa ini, patik memohon ampun perkenan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Raja-Raja Melayu pertimbangkanlah cadangan ini,” katanya.

Ibrahim berkata demikian mengulas kemelut politik berikutan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghadap Yang di-Pertuan Agong, Selasa lalu.

Selepas pertemuan tersebut, dalam sidang akhbar Anwar mendakwa kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin jatuh kerana kehilangan sokongan Ahli Parlimen.

Ibrahim terdahulu mencadangkan Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Tengku Mohd. Hamzah sebagai Perdana Menteri bagi kerajaan perpaduan untuk mengatasi kemelut politik sekarang.

Selain itu, beliau turut mencadangkan pengisytiharan darurat supaya kebajikan rakyat dan kepentingan negara dapat dijaga ketika krisis kesihatan, pandemik Koronavirus (Covid-19) menular.

Berita penuh : https://suaramerdeka.com.my/guna-perintah-darurat-bertempoh-untuk-reset-politik-negara/

COMMENTS