Ibu tunggal terharu dapat tablet daripada Ebit Lew

Ibu tunggal terharu dapat tablet daripada Ebit Lew

Rasa sedih seorang ibu tunggal apabila komputer terpakai yang dibelinya dalam talian tahun lalu untuk tiga anaknya yang menghidap autisme serta Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD) mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) rosak, terubat apabila menerima tablet sumbangan pendakwah terkenal Ebit Lew baru-baru ini.

Haslinah Hassan, 40, yang tinggal di perumahan awam Jalan Hang Tuah di sini ketika dihubungi berkata, anak sulungnya, Muhammad Nur Izzat Ismail, 13, yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Yaacob Latif di bawah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) begitu kecewa dan hampir hilang semangat untuk belajar selepas komputer yang dibeli Oktober lalu rosak.

Tiga lagi anaknya, Putri Nur Alya Batrisyia, 9, Putra Nur Irfan Basir, 7, dan Putra Nur Izzuddin Yusuf, 3. Anak kedua dan ketiganya mengikuti program PPKI di Sekolah Kebangsaan Yaacob Latif, manakala anak bongsunya dihantar ke pusat pemulihan dalam komuniti San Peng.

“Tiga anak saya yang bersekolah begitu meminati bidang teknologi dan internet. Selepas ‘desktop’ rosak, mereka hanya belajar menggunakan telefon bimbit saya dan saya akan ambil kerja sekolah masing-masing dari sekolah mereka.

“Pada Khamis, saya lihat hantaran di Facebook Ebit Lew bahawa dia membeli 100 tablet untuk dihadiahkan kepada pelajar yang memerlukan untuk kelas dalam talian. Sekitar 6 petang Khamis, saya menulis di ruangan komen hantaran Lew. Saya katakan tentang keadaan anak saya dan tiga daripada mereka bersekolah. Saya juga memohon agar boleh dapat satu tablet.”

Katanya, 45 minit selepas menulis di ruangan komen itu, beliau dihubungi pasukan Lew untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai dirinya dan kira-kira 9.30 malam itu, petugas Lew menghantar tablet ke rumahnya.

Lebih menggembirakannya, seorang hamba Allah turut menyumbang sebuah komputer riba semalam dan Haslinah menyifatkan tablet sumbangan Lew dan komputer riba itu umpama “talian hayat” kepada tiga anaknya untuk mengikuti PdPR memandangkan beliau tidak mampu mendapatkan peranti elektronik baru buat mereka.

Ini kerana, Haslinah yang menjadi ibu tunggal sejak 2019, merupakan orang kelainan upaya (OKU) yang mempunyai masalah pembelajaran dan turut menghidap ADHD.

Keadaan empat anaknya menyebabkan beliau tidak dapat bekerja dan pendapatan beliau kini hanyalah elaun Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan, bantuan Baitulmal dan sumbangan orang ramai.

“Saya terharu dengan sumbangan Ustaz Ebit Lew dan akan pastikan peranti ini digunakan sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata, anak sulungnya dan anak keduanya masing-masing boleh menggunakan tablet serta komputer riba itu untuk mengikuti PdPR, manakala anak ketiganya boleh menggunakan telefon bimbit beliau bagi tujuan itu.

Sementara itu, catatan Lew mengenai 100 tablet yang dibelinya untuk dihadiahkan kepada pelajar memerlukan dikongsi lebih 22,000 pengguna Facebook setakat petang tadi.

Lew dalam catatan Facebook seterusnya memberitahu, dalam masa separuh hari saja, beliau menerima 43,000 mesej daripada mereka yang memerlukan tablet untuk anak masing-masing mengikuti PdPR.

“Ramai juga yang OKU, tiada pekerjaan, anak yatim piatu dan bergaji kecil. Maafkan saya ya tidak dapat membantu ramai lagi,” kata Lew dalam catatan itu. – FMT