IJN seru kerajaan naikkan bayaran pesakit 40%, ini jawapan Timbalan Menteri Kesihatan

Oleh SHUHADA BUSTAMAN

Permohonan Institut Jantung Negara (IJN) untuk menaikkan yuran yang dikenakan terhadap pesakit

antara 10 hingga 40 peratus akan dibincangkan bersama Kementerian Kewangan, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni.

Lukanisman menjelaskan bahawa IJN berada di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan, dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merupakan klien kepada IJN.

“Apa yang berlaku ketika ini adalah keputusan daripada pihak IJN.

Kita akan berbincang dan memperhalusi punca peningkatan kos atau yuran yang mereka kenakan kepada pesakit,”

IJN seru kerajaan naikkan bayaran pesakit 40%, ini jawapan Timbalan Menteri Kesihatan

katanya dalam sidang media selepas Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2024, di Parlimen, hari ini.

Khamis lalu, Ketua Pegawai Eksekutif IJN yang baru dilantik, Dr. Mohamed Ezani Md Taib, dilaporkan berkata pihaknya memohon kenaikan yuran kepada pesakit sehingga 40 peratus.

Ezani menyatakan bahawa kajian semula terhadap struktur bayaran juga perlu dilaksanakan, memandangkan ia tidak berubah sejak 21 tahun yang lalu dan kini mesti diambil kira dengan inflasi serta peningkatan kos.

Beliau menambah bahawa kos penjagaan kesihatan telah meningkat, tetapi IJN masih mengenakan kos asal yang ditetapkan kepada kerajaan pada tahun 2003.

Mengulas lanjut, Lukanisman berkata perbincangan lanjut mengenai perkara tersebut adalah perlu kerana permohonan IJN itu akan memberi kesan kepada KKM.

“Ia akan memberikan impak kepada KKM kerana kita juga masih menghantar pesakit-pesakit yang dirujuk ke IJN.

“Kita tidak dapat mempengaruhi yuran yang dikenakan kerana IJN bukan di bawah KKM,” katanya

BACA: Jangan pening, jangan serabut, ikut je panduan ini bila geran tanah hilang atau rosak