Ikea Cheras tutup, pegawai keselamatan positif Covid-19

Ikea Cheras tutup, pegawai keselamatan positif Covid-19

Syarikat pemborong perabot, Ikea memaklumkan penutupan sementara cawangannya di Cheras selama sehari susulan seorang pengawal keselamatannya disahkan positif Covid-19.

Ikea berkata, ia susulan rutin penjadualan ujian Covid-19 yang dilakukan dan kali terakhir pengawal keselamatan itu bekerja adalah pada 23 Januari lalu.

Kini kesemua mereka diperintah menjalani kuarantin kendiri sehingga dimaklumkan pihak berkuasa.

“Kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan keseluruhan kakitangan, pelangan, rakan kongsi dan komuniti menjadi keutamaan kami.

“Disebakan itu kami mengambil langkah pencegahan untuk menutup operasi kedai di Cheras pasa 25 Januari.

“Ia bagi menjalani pembersihan yang diperlukan dan proses pengesanan kontak rapat, mengikut piawaian ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut syarikat itu, semua kakitangan yang mempunyai kontak rapat sudah diminta menjalani kuarantin di rumah dan turut menjalani ujian saringan Covid-19.

“Manakala pelanggan yang mempunyai pertanyaan lebih lanjut atau memerlukan lebih banyak maklumat, sila hubungi talian hotline Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC)KKM, 03-8881 0200/0600/0700,” katanya.

Tambahnya, syarikat berkenaan akan terus mendapatkan nasihat daripada pihak berkuasa dan akan mengambil tindakan mengikut nasihat yang diberikan.

“Kami sudah dan akan terus lakukan semua langkah keselamatan diperlukan termasuk penggantian pekerja rakan kongsi perkhidmatan, pengesanan kontak, ujian swab, kuarantin untuk semua kontak rapat dan sanitasi,” katanya. –FMT