Kerajaan Melaka sedang dalam proses mewartakan lima lagi ajaran dan kegiatan baru sebagai sesat,
menjadikan jumlah keseluruhan ajaran serta kegiatan yang difatwakan menyeleweng daripada ajaran Islam kepada 36 kumpulan.
Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil, berkata lima kumpulan dan kegiatan tersebut ialah Ajaran dan Fahaman Irwan Bin Alias,
Ajaran Suhaini Bin Mohammad atau dikenali sebagai Ajaran Si Hulk, Amalan dan Kaedah Perubatan Encik Adam Bin Isa (Tabib Adam),
penyelewengan Ajaran Risalah Bab Kesucian yang dibawa oleh Wayang Hadi Kesumo (Hadi Minallah),
serta kumpulan yang mengamalkan ajaran Kewajipan Berpegang Dengan Ahli Sunah Waljamaah.
“Kesemua lima ajaran dan kegiatan ini sudah dikemukakan kepada Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri dan akan diwartakan dalam tempoh terdekat.
“Kami (kerajaan negeri) tidak menolak kemungkinan terdapat individu dalam kalangan masyarakat Melaka yang mengamalkan dan menjadi pengikut kumpulan ajaran sesat ini,
kerana pergerakan mereka dilakukan secara rahsia walaupun ajaran mereka telah difatwakan haram kerana menyeleweng daripada akidah Islam,” katanya kepada pemberita di Melaka semalam.
“Kita menasihatkan seluruh umat Islam, termasuk ahli keluarga kita sendiri, jika terdapat sebarang perkara yang mencurigakan,
mereka perlu segera melaporkannya kepada Jabatan Agama Islam Melaka supaya tindakan boleh diambil,” tambahnya.
BACA: Ingatkan jalan raya sahaja jem,panjat gunung pun trafik tak lancar