Ingatkan 2 hari tak balik dah kena curi, rupanya dibaham Harimau Akar

Oleh SULAIMAN ABD RAHMAN

Seorang wanita terkejut selepas mendapati kucing kesayangannya yang disangka hilang sebelum ini rupanya telah dibaham oleh harimau akar.

Menurut Sinar Harian, kejadian yang berlaku di Kampung Tersusun Salak, Salak Baru, Sungai Siput, disedari selepas pemilik, Nurul Balqis Musa, 30, memeriksa rakaman CCTV.

Balqis berkata, kucing betina bernama Petra yang berusia empat tahun itu hilang selama dua hari.

“Jiran ada memberitahu bahawa tiga kucingnya juga hilang, menyebabkan kami memutuskan untuk memeriksa CCTV kerana bimbang kucing kami diambil orang.

“Dalam rakaman itu, baru kami ingat ibu ada mendengar Petra menjerit kuat sekitar jam 3 pagi.

Ingatkan 2 hari tak balik dah kena curi, rupanya dibaham Harimau Akar

Apabila kami buka pintu belakang, Petra sudah hilang,” katanya seperti yang dilaporkan Sinar Harian.

Kata Balqis lagi, mereka tidak menyangka harimau akar itu mampu melarikan Petra kerana kucing tersebut mempunyai berat sehingga 8 kilogram.

“Sehingga kini, ibu tidak sanggup melihat rakaman itu kerana terlalu sedih. Walaupun kami ada lapan kucing lain, Petra sangat istimewa.

“Kami pelihara Petra sejak kecil dan dia adalah kucing yang manja, malah tidur bersama kami. Jika saya memandu, Petra akan duduk di riba menemani sepanjang perjalanan ke Ipoh atau Sungai Siput,” tambahnya.

Balqis juga memberitahu bahawa penduduk di kawasan itu kini lebih berwaspada selepas menyedari kehadiran haiwan pemangsa tersebut.

“Kami telah mengurung lapan kucing peliharaan di dalam rumah, tidak lagi membiarkan mereka bermain di halaman kerana bimbang akan dibaham lagi.

“Video itu saya muat naik di Facebook sebagai peringatan kepada ibu bapa agar menjaga keselamatan anak-anak mereka dan tidak lagi membiarkan mereka bermain di anak sungai kawasan tersebut,” kata Balqis.

Menurut Sinar Harian, harimau akar atau harimau dahan dewasa yang terlibat dianggarkan mempunyai berat sekitar 15 kilogram dan dipercayai berasal dari Hutan Simpan Kledang Saiong.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff, turut mengesahkan bahawa pihaknya telah menerima aduan tersebut.

“Kakitangan Perhilitan sudah pergi ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan dan bercadang untuk memasang perangkap di kawasan tersebut.

“Kami juga menasihatkan penduduk supaya mengurung semua binatang ternakan atau peliharaan lain, jika ada,” kata Yusoff.

BACA: Tiba-tiba ayah rajin nak ambil aku pulang dari sekolah, belakang mak rupa-rupanya ini kerja ayah dengan cikgu aku”