Seorang penumpang kereta api di Sepanyol mengalami pengalaman sukar selama tiga jam
apabila tren yang dinaikinya menggegar hebat seperti pesawat yang mengalami pergolakan udara, lapor akhbar Metro UK.
Kejadian tersebut direkodkan oleh seorang penumpang semasa menaiki laluan rel berkelajuan tinggi
yang menghubungkan bandar raya Madrid dengan Gijon di barat laut Sepanyol baru-baru ini.
Laluan kereta api ini baru sahaja selesai dibina semula dengan kos sebanyak €4.1 bilion (RM20.7 bilion).
“Kami melantun! Saya harap Menteri Pengangkutan atau sesiapa boleh memberi penjelasan kepada penumpang kereta api AVE 05721,” tulis Alex Sanchez di platform X.
Laluan berkelajuan tinggi ini termasuk terowong kereta api ketujuh terpanjang di Eropah, yang dibuka pada November tahun lalu selepas pembinaan selama 20 tahun.
Syarikat kereta api milik kerajaan Sepanyol, Renfe, mengesahkan kejadian tersebut dengan berkata: “Kami telah menangguhkan perkhidmatan kereta untuk menganalisis punca anomali ini dan melaporkannya kepada pembekal. Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku.”