Ini 10 faktor kemenangan BN di Nenggiri, semua benda yang kerajaan Pas lupa buat

Oleh SHUHADA BUSTAMAN

Barisan Nasional (BN) telah mengenal pasti 10 faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan mereka dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri semalam.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, menjelaskan bahawa faktor pertama adalah keyakinan tinggi Perikatan Nasional (PN)

yang menyebarkan sentimen Melayu dan Islam yang menolak UMNO pimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta kerajaan Pakatan Harapan (PH). Ini, katanya, akhirnya memerangkap diri mereka sendiri.

Menurutnya, pelbagai kempen untuk menanam kebencian dan penolakan terhadap Ahmad Zahid,

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan PH, dan UMNO dilaksanakan dengan penuh keangkuhan oleh PN sepanjang tempoh kempen.

Ini 10 faktor kemenangan BN di Nenggiri, semua benda yang kerajaan Pas lupa buat

Faktor kedua adalah pemilihan Tan Sri Annuar Musa sebagai Pengarah Pilihan Raya PN yang dengan gaya mewahnya memberi kelebihan kepada BN dalam merangka strategi.

“Bagi ahli UMNO, tindakan Annuar terhadap BN dianggap berlebihan tanpa mengingat jasa UMNO/BN kepadanya selama ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zambry juga menyatakan bahawa keputusan BN untuk menukar pendekatan daripada ceramah besar-besaran kepada kempen secara berkampung turut menyumbang kepada kejayaan mereka.

“Meskipun tiada ceramah besar-besaran, jentera BN turun ke kampung-kampung dan Pusat Daerah Mengundi (PDM),” tambahnya.

Beliau menjelaskan bahawa disiplin tinggi ahli UMNO dan BN sebagai satu pasukan dan pendekatan ‘underdog’ dalam merangka gerak kerja juga memainkan peranan penting.

“Pasukan dari negeri lain turut membantu BN Kelantan, tanpa meninggalkan pangkalan atau sekadar datang sebagai pelancong pilihan raya,” katanya.

Menurut Zambry, perhatian khusus kepada kawasan Orang Asli oleh jentera BN Kelantan yang dibantu oleh negeri lain seperti Perak dan Pahang mendorong sokongan kumpulan masyarakat tersebut kepada BN.

“Walaupun PN dengan lambang PAS turut mendirikan khemah di kawasan Orang Asli, ia gagal menarik sokongan,” katanya.

Beliau turut menyebut peranan Datuk Seri Ahmad Jazlan, Pengarah Jentera BN Kelantan, bersama ketua-ketua bahagian UMNO yang berkesan dalam menyumbang kepada kemenangan BN.

“Ketujuh, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) sebagai individu berpengalaman dalam kawasannya juga memainkan peranan penting.

Beliau memberikan nasihat dan strategi dalam mengendalikan pengundi di Gua Musang, khususnya di DUN Nenggiri,” jelas Zambry.

Faktor terakhir yang disebut adalah pemilihan calon yang tepat, serta strategi PN yang membawa isu politik nasional yang tidak memberi impak di kawasan luar bandar seperti DUN Nenggiri.

“Isu tempatan seperti masalah tanah KESEDAR (Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan) yang belum diselesaikan oleh kerajaan negeri menjadi keutamaan pengundi,” tambahnya.

BACA: Kenapa China tak pernah kalah dalam Olimpik, atlet terjun kongsi rahsia