Seorang manusia secara purata membuang air kecil antara tujuh hingga lapan kali sehari.
Kekerapan membuang air kecil, selain dari air besar, menjadikan tandas sebagai satu keperluan yang sangat penting.
Oleh itu, tidaklah menghairankan di kawasan tumpuan ramai, seperti pusat beli-belah, puluhan tandas disediakan di setiap aras.
Dalam pada itu, ketika menggunakan tandas, pernahkah anda terfikir mengapa sesetengah pelapik tempat duduk pada mangkuk tandas mempunyai ruang terbuka di bahagian depannya?
Ramai daripada kita beranggapan bahawa ruang terbuka berbentuk U itu hanya sekadar rekaan semata-mata, tanpa memenuhi apa-apa keperluan.
Namun, anda mungkin silap jika berfikir begitu kerana rekaan terbuka ini mempunyai alasannya tersendiri.
Ketika seseorang sedang membuang air besar, biasanya mereka juga cenderung untuk membuang air kecil pada masa yang sama.
Ketika itu, air kencing mungkin akan tersimbah dan mengenai bahagian depan tempat duduk mangkuk tandas. Namun, pengguna rata-ratanya jarang membersihkan tempat duduk tersebut selepas selesai menggunakan tandas.
Menurut Daily Mail, di sinilah pentingnya rekaan ruang terbuka berbentuk U tersebut.
Ia dicipta untuk mengelakkan tangan pengguna daripada tersentuh kotoran sendiri dan mencegah kuman atau sisa buangan yang terpercik pada bahagian itu daripada tersebar kepada tangan pengguna seterusnya.
Ringkasnya, bentuk U itu dapat meminimumkan risiko tangan pengguna daripada tersentuh bahagian pelapik itu ketika membersihkan diri.
Rekaan terbuka dan tempat duduk yang panjang ini sebenarnya memberi manfaat kepada kedua-dua pengguna lelaki dan wanita.
Sekiranya tandas menggunakan bidet closet, rekaan terbuka itu memudahkan pengguna untuk membersihkan atau mengeringkan bahagian intim masing-masing dengan tisu.
Selain itu, ia juga direka supaya tempat duduk tandas dapat dicuci dengan lebih cepat dan mudah oleh pekerja pembersihan.
Malah, ada juga pendapat yang mengatakan bahawa rekaan U tersebut dapat menjimatkan kos operasi membersihkan tandas.
BACA: Dah lama P Ramlee rancang ramai lalai, ini maksud sebenar ‘niat enson matakaji semar ngiseng’