“Ini anak-anak ada ibu dan ayah bukan anak-anak ayam” – Sultan Pahang

Oleh ZULQARNAIN ISMAIL

Semua penuntut di madrasah, tahfiz, atau pengajian pondok di Pahang adalah aset berharga,

Bukan sekadar dilihat sebagai anak-anak ayam, titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Baginda menyatakan bahawa golongan ini sewajarnya dilindungi dari segi kebajikan seperti kesihatan, keselamatan, dan pendidikan agar mereka terus terpelihara.

“Anak-anak kita adalah aset bagi negeri, keluarga, dan masyarakat kita. Jangan kita ambil mudah sahaja.

Jika tempat tinggal tidak bersih dan makanan tidak berkhasiat, itu adalah satu masalah. Anak-anak ini ada ibu dan ayah, bukan anak-anak ayam.

"Ini anak-anak ada ibu dan ayah bukan anak-anak ayam" - Sultan Pahang

Jadi, jangan kita berikan layanan seperti kepada ayam. Anak ayam pun ada pembelanya, apatah lagi anak-anak kita,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas merasmikan Persidangan Pengetua dan Pengusaha Maahad Tahfiz, Madrasah, dan Pondok Peringkat Negeri Pahang di Hotel Grand Darul Makmur hari ini. Turut hadir mengiringi baginda adalah anakanandanya, Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah, serta Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Baginda menekankan bahawa kualiti keselamatan di institusi pondok dan tahfiz mesti menjadi keutamaan dan tidak mahu lagi insiden kebakaran berlaku di institusi berkenaan di negeri ini. Sultan Pahang memaklumkan bahawa sekurang-kurangnya enam kejadian kebakaran melibatkan maahad tahfiz, madrasah, dan pondok telah berlaku akibat masalah pendawaian elektrik antara tahun 2017 hingga 2022.

Susulan itu, Al-Sultan Abdullah tidak akan berkompromi dari segi kualiti madrasah atau institusi tersebut, termasuk dalam aspek pembelajaran, tenaga pengajar, makanan, kesihatan, tempat tinggal, tahap keselamatan, dan lain-lain.

Baginda juga turut menegur isu penyelewengan akidah yang dilaporkan berlaku di rumah amal berkaitan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH), dan menegaskan perlunya tindakan untuk membendung perkara ini.

“Kebelakangan ini, isu GISBH mengejutkan seluruh Malaysia dan melibatkan kanak-kanak serta anak-anak kita. Saya berdoa agar perkara ini tidak berlaku di negeri Pahang.

Saya ingin mengingatkan, jauhi perbuatan seperti ini. Saya tidak akan membenarkan perkara tidak bertanggungjawab serta yang mencemar nama baik agama Islam dibiarkan berlaku di negeri Pahang,” titah baginda.

Baginda menegaskan agar agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam persidangan ini sentiasa bersiap siaga untuk memastikan fenomena memperalatkan agama dan penganiayaan kanak-kanak tidak berlaku atau menular di Pahang.

BACA: ‘Berhubung dengan Rasulullah secara terus’, bekas ahli GISBH dedah pemimpin dipilih melalui tahap ketakwaan paling tinggi