Tahun 2024 sudah melabuhkan tirainya, meninggalkan pelbagai kenangan termasuk deretan model automotif baharu yang memperkayakan pasaran.
Namun, 2025 dijangka lebih gemilang, membawa bersama pelbagai model baharu dan facelift
Tapi yang pasti mencuri perhatian penggemar automotif.
Berikut adalah beberapa model yang bakal tiba pada tahun hadapan:
1. Honda Civic Facelift
Sebagai pembuka tirai tahun 2025, Honda Malaysia dijangka melancarkan Honda Civic facelift pada Januari.
Model ini bakal ditawarkan dalam dua varian RS—e:HEV RS dan Petrol RS.
Reka bentuknya memancarkan identiti premium yang diperhalusi, mencerminkan evolusi Honda dalam menghasilkan kenderaan yang mengutamakan gaya dan kecekapan.
Tempahan sudah dibuka, menjadikan Civic antara model paling dinanti awal tahun depan.
2. Proton X50 Facelift
Proton akan tampil dengan beberapa model baharu pada tahun 2025, dan antara yang mencuri tumpuan ialah versi facelift Proton X50.
Menggunakan asas Geely Binyue Cool, rekaan depan dan belakang X50 menampilkan gaya yang lebih agresif. Bahagian dalamannya pula diberi sentuhan moden dengan papan pemuka baharu yang menggabungkan panel meter digital dan unit inforia bersepadu.
3. Proton Saga MC3 (AMA01)
Proton Saga MC3 (AMA01), generasi baharu sedan kegemaran rakyat Malaysia, bakal dilancarkan dengan pelbagai pembaharuan.
Dibangunkan dari pelantar model semasa yang ditingkatkan, Saga MC3 menawarkan empat varian, dari Standard hingga Flagship.
Ditenagai enjin 1.5 liter aspirasi alami (NA) yang dipadankan dengan transmisi CVT, model ini turut menampilkan reka bentuk baharu, termasuk jeriji Ethereal Bow dan elemen Infinite Weave dengan kemasan bermotif songket.
4. Proton e.MAS 5
Sebagai kenderaan elektrik kedua Proton, e.MAS 5 menjadi taruhan Proton untuk pasaran EV. Berasaskan Geely Geome Xingyuan, hatchback elektrik ini telah pun membuat debut di pasaran China dan kini dijangka tiba di Malaysia pada 2025.
Menambah kepada keterujaan, Proton telah mendaftarkan tanda dagangan baharu untuk e.MAS 3, e.MAS 5, dan e.MAS 7 PHEV, memberikan gambaran jelas bahawa masa depan automotif Proton semakin menekankan kelestarian dan inovasi teknologi.
Dengan model-model ini, 2025 dijangka menjadi tahun yang penuh dengan kejutan untuk industri automotif tempatan. Nantikan pelancaran rasmi setiap model ini dan bersiaplah untuk menyaksikan bagaimana teknologi, reka bentuk, dan inovasi memacu pengalaman pemanduan ke tahap yang lebih tinggi!
BACA: Staf dari syurga sanggup pulangkan RM7,200 selepas bos silap bayar gaji