Ini kronologi mudah faham kes Jana Wibawa untuk rakyat biasa

Oleh GEMILANGDAILY

Ini kronologi mudah faham kes Jana Wibawa untuk rakyat biasa. : Tan Sri Muhyiddin Yassin mempersoalkan bagaimana Jabatan Peguam Negara boleh membuat keputusan lebih awal untuk mendakwanya

sedangkan beliau belum memberikan sebarang kenyataan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).

Bekas perdana menteri yang juga Presiden BERSATU itu berkata, beliau mengetahui keputusan untuk mendakwa dirinya sudah diputuskan oleh kerajaan walaupun siasatan belum dilengkapkan.

Ini kronologi mudah faham kes Jana Wibawa untuk rakyat biasa

“Mereka hanya menggunakan agensi penguat kuasa sebagai alat untuk mencapai tujuan politik. Jelas, pendakwaan ke atas saya adalah satu bentuk pemangsaan politik yang terancang.

“Saya sudah berkecimpung dalam politik selama 50 tahun dan sepanjang tempoh itu, tiada sebarang kesalahan yang saya lakukan.

“Saya sentiasa akur kepada peraturan dan undang-undang. Saya tidak melanggar peraturan mahupun undang-undang dengan sewenang-wenangnya.

“Pegawai kerajaan yang pernah berkhidmat dengan saya pasti tahu sikap dan pendirian saya mengenai pematuhan kepada peraturan dan undang-undang,” katanya dalam sidang media selepas menghadapi enam pertuduhan mengikut Akta SPRM 2009 di Mahkamah Sesyen hari ini.

Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin bercakap dalam sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. – Foto REUTERS
Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin bercakap dalam sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. – Foto REUTERS
Terdahulu, Muhyiddin menghadapi enam pertuduhan mengikut Akta SPRM 2009 merangkumi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk menerima rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram berjumlah RM195 juta.

Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md Yasin, 76, membuat pengakuan itu dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azura, kira-kira jam 9.20 pagi.

Dalam prosiding, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan (PN), berkata “saya faham pertuduhan, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan”.

Beliau yang hadir memakai kemeja putih dan sut hitam kelihatan tenang sepanjang prosiding.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan Presiden BERSATU didakwa atas empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan wang berjumlah RM200 juta, RM1 juta, RM19.5 juta dan RM12 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Syarikat Nepturis Sdn Bhd, Syarikat Mamfor Sdn Bhd dan seorang individu Azman Yusoff, antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021 bagi sekutunya iaitu Parti BERSATU.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Perdana Menteri, Blok A, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara 8 dan 20 Ogos 2021.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi.

Muhyiddin turut didakwa atas dua pertuduhan iaitu sebagai Presiden Parti BERSATU menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM120 juta dan RM75 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Parti BERSATU di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Februari 2021 dan 8 Julai 2022.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] yang boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta atau mana lebih tinggi.

Pendakwaan yang diketuai Peguam Cara Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh menawarkan jaminan RM2 juta dengan dua penjamin warga tempatan dan bukan ahli keluarga, berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Datuk K Kumaraendran yang mewakili Muhyiddin memberitahu mahkamah pihaknya bersetuju dengan jaminan ditawarkan oleh pihak pendakwaan.

Hakim membenarkan Muhyiddin diikat jamin RM2 juta dengan dua penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah serta menetapkan 26 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, galeri awam mahkamah dipenuhi beberapa pimpinan BERSATU antaranya Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Semalam, Muhyiddin ditahan SPRM selepas hadir bagi merakamkan percakapan dan melengkapkan proses siasatan akhir program Jana Wibawa.

SPRM dalam kenyataan memaklumkan, Muhyiddin bakal menghadapi beberapa pertuduhan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM (ASPRM) 2009 dan Seksyen 4(1)b Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Jana Wibawa dilaksanakan ketika pandemik COVID-19 dan ia adalah kesinambungan kepada Program Pembangunan Kontraktor Binaan Bumiputera Berwibawa yang dimulakan pada 1993.

Pada 18 Februari lalu, bekas Perdana Menteri itu mengesahkan dipanggil SPRM untuk memberi keterangan mengenai Jana Wibawa sebagai saksi dan bukannya suspek.

Bagaimanapun, sehari kemudian SPRM mengesahkan Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh antara suspek yang disiasat berhubung kes berkenaan dan siasatan ke atasnya masih diteruskan.

Pada 20 Februari, SPRM memaklumkan seorang pemimpin kanan sebuah parti politik berstatus Ahli Parlimen dan seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat, ditahan berhubung kes Jana Wibawa.

Sehari kemudian, bekas Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta pada tahun lalu. Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah.

Pada hari sama, Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, dihadapkan di mahkamah sama atas dua pertuduhan termasuk menerima rasuah RM500,000 membabitkan projek Jana Wibawa.

Dia sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 22 Februari atas kesalahan menerima rasuah berjumlah RM4.1 juta berkaitan projek sama, disusuli pendakwaan kali ketiga pada 28 Februari berhubung projek Jana Wibawa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas pertuduhan meminta rasuah RM2 juta.

Pada 22 Februari juga, seorang pengarah syarikat perabot di Pagoh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, atas sembilan pertuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung program Jana Wibawa bernilai RM12.875 juta, sejak dua tahun lalu.

Jana Wibawa dilaksanakan ketika pandemik COVID-19 dan ia adalah kesinambungan kepada Program Pembangunan Kontraktor Binaan Bumiputera Berwibawa yang dimulakan pada 1993.

Pelaksanaannya diluluskan Jemaah Menteri pada 13 November 2020 ketika kerajaan ditadbir PN diterajui Muhyiddin.

KRONOLOGI ISU PROJEK JANA WIBAWA

13 November 2020 : Jana Wibawa diluluskan oleh Jemaah Menteri.

31 Februari 2023 : BERSATU berkongsi penyata akaunnya sebalik dakwaan mengaitkan parti itu menerima RM4 bilion daripada RM92.5 bilion dana Pakej Rangsangan Ekonomi.

1 Februari 2023 : Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki sahkan pihaknya membekukan beberapa akaun milik BERSATU.

2 Februari 2023 : Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yasin maklumkan partinya menghantar surat kepada SPRM meminta pembatalan pembekuan akuan BERSATU.

15 Februari 2023 : Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan Kementerian Kewangan (MOF) sudah mengarahkan projek Jana Wibawa ditangguh.

16 Februari 2023 : Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) hadir beri keterangan kepada SPRM.

19 Februari 2023 : SPRM sahkan Muhyiddin antara suspek yang disiasat bagi projek Jana Wibawa.

20 Februari 2023 : Bekas Menteri MOF, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, beri keterangan kepada SPRM.

20 Februari 2023 : Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat, Adam Radlan Adam Muhammad ditahan SPRM.

21 Februari 2023 : Wan Saiful dan Adam Radlan masing-masing didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta dan RM500,000 berkaitan Jana Wibawa.

22 Februari 2023 : Adam Radlan sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM4.1 juta berkaitan Jana Wibawa.

22 Februari 2023 : Seorang pengarah syarikat perabot di Pagoh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, atas sembilan pertuduhan meminta dan menerima rasuah bernilai RM12.875 juta.

24 Februari 2023 : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim maklumkan projek Jana Wibawa berjumlah RM7 bilion yang dibuat secara rundingan terus dibatalkan.

28 Februari 2023 : Adam Radlan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen sekali lagi atas pertuduhan meminta rasuah RM2 juta berhubung projek Jana Wibawa.

9 Mac 2023 : Muhyiddin sekali lagi hadir ke ibu pejabat SPRM bagi memberi keterangan berkenaan projek Jana Wibawa.

BACA:

“Bakal suami tolong bungkus stok tudung untuk dijual sekali ini yang terjadi, sampai hati dia buat aku macam ni”

“Tiada laluan istimewa walaupun penceramah itu dikenali popular” – Pengerusi MAIS