Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) secara rasmi telah memecat Joko Widodo (Jokowi),
anaknya Gibran Rakabuming Raka, menantunya Bobby Nasution, serta 27 ahli lain daripada parti tersebut.
Menurut laporan media tempatan, pemecatan itu diumumkan melalui surat keputusan yang dibacakan
oleh Ketua Bidang Kehormatan Dewan Pimpinan Pusat PDIP, Komarudin Watubun.
Surat bertarikh 14 Disember 2024 itu ditandatangani oleh Ketua Umum PDIP, Megawati Soekarnoputri, dan Setiausaha Agung, Hasto Kristiyanto.
Komarudin, memetik portal berita Detik.com, menyatakan bahawa beliau menerima arahan langsung daripada Ketua Umum PDIP untuk mengumumkan keputusan tersebut.
“DPP Parti telah memutuskan pemecatan Joko Widodo, Gibran Rakabuming Raka, Bobby Nasution, dan 27 anggota lain. Keputusan ini juga melarang mereka menjalankan aktiviti atau menduduki sebarang jawatan atas nama PDIP,” katanya.
Sebelum ini, Jokowi sempat memberi respons terhadap khabar angin pemecatannya. Ketika ditanya mengenai kemungkinan dirinya tidak lagi terlibat dalam mana-mana parti politik, beliau hanya memberi kenyataan ringkas berkaitan konsep “parti perorangan”.
Laporan CNN Indonesia menafsirkan kenyataan Jokowi tersebut sebagai petunjuk bahawa beliau berhasrat untuk terus aktif dalam dunia politik walaupun tanpa keterlibatan dengan mana-mana parti.
Sementara itu, pada 4 Disember 2024, Hasto Kristiyanto pernah membuat kenyataan mengejutkan mengenai status keanggotaan Jokowi.
Ketika ditemui pemberita di Jakarta Selatan, Hasto menyatakan dengan tegas bahawa Jokowi dan keluarganya bukan lagi sebahagian daripada PDIP.
“Saya tegaskan kembali bahawa Pak Jokowi dan keluarganya sudah tidak lagi menjadi bahagian dari PDI Perjuangan,” ujar Hasto.