Kerajaan Selangor telah menarik balik tauliah mengajar yang diberikan kepada pendakwah selebriti, Ustaz Don Daniyal Bon Bijayid, mulai 24 Julai lalu.
Pengesahan mengenai perkara ini dibuat oleh Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah, s
elepas surat edaran Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengenai isu tersebut tular di media sosial pada Isnin.
Menurut Dr Mohammad Fahmi, keputusan untuk menilai semula tauliah yang telah diberikan oleh MAIS
Bermula daripada aduan awam sebelum siasatan lanjut dilakukan oleh Jawatankuasa Siasatan MAIS di bawah agensi tersebut.
“Setiap pemegang tauliah diberikan lesen atau kategori tauliah yang sangat khusus, contohnya D3 yang hanya membolehkan pemegangnya mengajar al-Quran.
“Jika tauliah tersebut digunakan untuk memberi ceramah di masjid di luar daripada topik yang dibenarkan, aduan boleh dibuat. Ini adalah salah satu contoh sebab-sebab mengapa tauliah boleh ditarik balik.
“Oleh itu, proses ini bermula daripada aduan awam yang dikemukakan, diikuti dengan siasatan sebelum keputusan dibuat oleh MAIS,” katanya seperti yang dilapor oleh Sinar Harian.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai surat edaran MAIS bertarikh 6 Ogos lalu kepada masjid dan surau di daerah Selangor.
Menurut surat tersebut, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tauliah MAIS telah memutuskan untuk menarik balik tauliah mengajar daripada lima pemegang tauliah MAIS, termasuk Ustaz Don Daniyal, berkuat kuasa 24 Julai lalu.
Dalam surat edaran tersebut, tauliah mengajar untuk pendakwah selebriti tersebut sepatutnya berlangsung dari 2 Julai 2020 hingga 30 Jun 2025.
Empat individu lain yang turut terkesan termasuk Mohd Shahabudin Md Yatim, Mohd Udzair Mohamad Zaid, Muhammad Hairullah Hassim, dan Syed Mohd Norhisyham Tuan Padang.
Oleh itu, semua masjid dan surau diarah untuk tidak mengundang kelima-lima mereka untuk mengajar.
Mengulas lanjut, Dr Mohammad Fahmi yang tidak memperincikan kesalahan lima pemegang tauliah MAIS itu berkata, rayuan masih boleh dikemukakan di bawah jawatankuasa rayuan, namun buat masa ini keputusan tersebut kekal.