Ini respon padu Anwar Ibrahim, kes pendakwah Indonesia hina penjual air dalam ceramah

Oleh GEMILANGDAILY

Insiden seorang pendakwah di Indonesia yang didakwa menghina seorang penjual teh dalam majlis ceramahnya

sehingga videonya tular di media sosial wajar menjadi pengajaran kepada semua, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri itu berkata, kejadian tersebut memberikan pengajaran penting, terutamanya kepada golongan berilmu

Dan mereka yang memegang kedudukan tinggi dalam masyarakat, agar lebih bersikap mulia dan tidak mudah menghina golongan yang lebih rendah daripadanya.

“Beberapa hari ini, di Indonesia, tular di media sosial tentang seorang kiyai (pendakwah) yang dalam ceramahnya menghina seorang penjual teh.

Ini respon padu Anwar Ibrahim, kes pendakwah Indonesia hina penjual air dalam ceramah

Saya lihat ramai yang menonton video itu.

“Dia mungkin di kalangan yang paling miskin, namun dia seorang pendakwah dan kawan-kawannya ketawa. Sehingga Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, memberi kenyataan keras.

Akhirnya, pendakwah itu pergi ke tempat penjaja tersebut dan meminta maaf.

“Ini adalah contoh bahawa keangkuhan dan kesombongan bukan hanya berlaku di kalangan mereka yang tidak tahu agama, tetapi juga di kalangan orang yang berilmu agama, yang bercakap tentang Islam, akidah dan solat, tetapi kadangkala boleh menghina,” kata Anwar.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan kakitangan Kementerian Kewangan (MOF) pada perhimpunan yang diadakan hari ini, yang turut dihadiri oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, menambah bahawa pengajaran dari insiden tersebut perlu diambil serius oleh kerajaan, khususnya dalam memberi kefahaman kepada rakyat mengenai dasar-dasar kerajaan, terutama bagi golongan yang terpinggir.

“Apakah makna transisi tenaga kepada golongan seperti ini? Jadi kita perlu mencari cara untuk memberikan penerangan dan kefahaman kepada mereka.

“Di bank yang mencatatkan keuntungan besar, apakah kedudukan orang yang paling miskin yang bekerja di sana? Di mana mereka tinggal? Berapa gaji mereka? Ambil perhatian terhadap perkara ini.

“Dalam kerangka belanjawan negara, kita harus memastikan pertumbuhan ekonomi yang baik dan menarik pelaburan, tetapi manfaatnya juga perlu sampai ke akar umbi. Kita perlu menyantuni semua lapisan masyarakat,” tambahnya.

Baru-baru ini, tular sebuah video yang memaparkan Miftah Maulana Habiburrahman atau lebih dikenali sebagai Gus Miftah, menghina seorang penjual teh ais dengan menyebut perkataan ‘bodoh’ terhadap lelaki tersebut.

Media Indonesia melaporkan bahawa penghinaan itu berlaku semasa pendakwah tersebut berceramah di Magelang, Jawa Tengah pada 20 November lalu.

Susulan insiden itu, Prabowo menegur dan mengingatkan pendakwah terbabit agar tidak mudah menghina golongan yang lebih rendah daripadanya.

BACA: ‘Lepas nikah, perangai suami berubah seratus peratus, lepas seminggu dia terus hilang’