Ini satu-satunya negara yang adakan PRN tak pakai kertas undi, cuma undi guna guli, ini sebabnya
Pilihan raya merupakan proses undian secara demokrasi yang umum dijalankan di seluruh dunia untuk memilih calon yang bakal mewakili suara rakyat.
Kebanyakan negara di seluruh dunia termasuk Malaysia masih menggunakan sistem yang sama iaitu dengan memangkah nama calon pada kertas undi.
Kertas-kertas undi ini kemudiannya akan dimasukkan ke dalam peti undi dan pengiraan akan dibuat setelah sesi buang undi selesai.
Namun ada sesetengah negara yang telah menggunakan sistem undian elektronik, di mana sistem berkomputer digunakan sebagai medium yang menggantikan kertas undi. Malah undian secara atas talian juga turut digunakan di beberapa negara seperti Estonia, Switzerland, Brazil, Perancis dan Amerika Syarikat.
Guna guli sebagai ‘kertas undi’
Di saat negara lain berlumba-lumba untuk menjalankan proses undian secara berkomputer, negara Gambia yang terletak di Afrika Barat ini masih memilih melakukan pilihanraya secara manual. Berbeza dengan negara-negara lain yang memangkah calon pada kertas undi, pilihan raya di Gambia pula menggunakan guli untuk menentukan pilihan calon.
Seperti pilihan raya di Malaysia, proses pilihan raya di Gambia juga dimulakan dengan pengesahan kad pengenalan oleh petugas-petugas di pusat mengundi. Setelah kad pengenalan disahkan, pengundi kemudiannya dibawa ke stesen undian.
Pengundi akan diberi sebiji guli untuk dimasukkan di salah satu tong yang diwarnakan mengikut calon parti. Tong undian akan berbunyi sekiranya ada pengundi yang cuba membuang undi lebih dari sekali dengan memasukkan lebih dari satu guli.
Sistem ini telah digunapakai untuk pilihan raya di Gambia sejak negara tersebut diisytiharkan merdeka pada tahun 1965.
Sehingga kini, sistem undian menggunakan guli masih diamalkan di Gambia kerana kadar buta huruf di negara itu yang terlalu tinggi.