Ini sebab Ummi Nazeera tarik diri dari Muafakat Nasional. Pelakon Ummi Nazeera, 32, mengumumkan berundur daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Muafakat Nasional (MN), selepas tindakan sama diambil Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah.
Ummi atau nama sebenar, Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abidin memberitahu keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kegusaran peminat selain mahu terus fokus dalam kerjaya lakonan.
“Saya Ummi Nazeera mengambil keputusan untuk menarik diri daripada MN iaitu sebuah badan bukan kerajaan (NGO).
“Ummi akan terus fokus berkarya dalam industri seni dan fokus kepada keluarga Ummi.
“Terima kasih atas kesudian MN melantik Ummi dan selamat maju jaya kepada mereka sebagai sebuah NGO.
“Terima kasih atas sokongan dan keprihatinan semua,” katanya melalui hantaran di Instagram (IG), hari ini.
Ummi sebelum ini dilantik oleh Presiden MN, Tan Sri Annuar Musa sebagai Ahli Dewan Tertinggi MN bersama 30 individu lain termasuk penyanyi Datuk Jamal Abdillah dan pelakon Datuk Seri Eizlan Yusof.
Pelantikan individu merangkumi pelbagai latar belakang itu adalah bertujuan membantu melancarkan aktiviti pertubuhan berkenaan.
Sementara itu, suami Ummi, Dr Mohd Izzar Anwari berkata, sebagai pempengaruh, isterinya bersikap nuetral dengan tidak menyatakan sokongan kepada mana-mana parti politik secara terbuka.
“Pertubuhan MN ini bukannya sebuah parti politik dan tidak merujuk kepada pakatan parti UMNO dan PAS yang dibentuk pada 2019.
“Selepas saya amati, pertubuhan MN ini berpegang kepada matlamat yang mampu memberi kebaikan kepada masyarakat.
“Isteri saya sedar dan amat menekankan bahawa sebagai seorang pempengaruh, beliau perlu bersikap neutral dan tidak menggunakan platform beliau untuk menunjukkan sokongan kepada mana-mana parti yang berunsurkan politik secara terang-terangan.
“Jika tidak, saya akan menjadi orang pertama yang akan menghalang beliau. Semoga sebarang kekeliruan dapat dielakkan. Selamat maju jaya kepada pertubuhan Muafakat Nasional,” katanya menerusi hantaran di IG.
Terdahulu, Jamal mengumumkan pengundurannya daripada MN disebabkan prinsip dirinya tidak sesuai untuk terbabit dengan pertubuhan sebegitu.