Wabak virus influenza kini kian berleluasa di Malaysia, menyerang bukan sahaja kanak-kanak, tetapi juga orang dewasa dan warga emas yang berisiko tinggi.
Jangan pandang ringan, gejalanya hampir serupa dengan Covid-19 seperti demam, batuk, sakit tekak, sakit badan, dan sakit kepala.
Apa yang lebih membimbangkan, komplikasi serius seperti serangan jantung, radang paru-paru, dan strok boleh berlaku jika tiada tindakan pencegahan seperti vaksinasi.
Kenapa Vaksinasi Penting Untuk Semua, Terutamanya Warga Emas
Ramai masih tak sedar bahawa vaksinasi influenza bukan hanya untuk kanak-kanak.
Warga emas amat memerlukan perlindungan tambahan kerana sistem imun mereka semakin lemah seiring usia.
Menurut Dr. Rizah Mazzuin Razali, Pakar Perunding Geriatrik di Hospital Kuala Lumpur (HKL), warga emas yang sudah ada penyakit kronik seperti jantung, darah tinggi, kencing manis, atau strok, berisiko lebih tinggi. Bahkan, jangkitan influenza yang teruk boleh membawa mereka ke unit rawatan rapi (ICU).
Kajian menunjukkan 10-20% warga emas yang dimasukkan ke ICU adalah akibat komplikasi influenza. Situasi ini serius, namun boleh dicegah dengan vaksinasi tahunan.
Risiko Tinggi Komplikasi Kesihatan
Dr. Rizah juga menjelaskan bahawa influenza mampu memicu masalah seperti:
Keradangan
Aritmia (ritma jantung tidak teratur)
Penyempitan saluran darah
Gabungan ini boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan warga emas, apatah lagi jika mereka sudah mempunyai penyakit kronik.
Malaysia Semakin Menua: Bersedia untuk Masa Depan
Tahukah anda, Malaysia kini rasmi sebagai negara yang semakin menua dengan lebih 3.8 juta rakyat berumur 60 tahun ke atas? Angka ini dijangka terus meningkat melebihi 15% menjelang 2030.
Beberapa negara seperti Thailand, Singapura, dan Filipina telah mula menawarkan vaksin influenza secara percuma kepada warga emas. Tidakkah kita sepatutnya mengambil langkah serupa demi kesejahteraan rakyat kita?
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa, juga menyuarakan kepentingan pemberian vaksin influenza tahunan secara percuma untuk melindungi golongan ini daripada komplikasi serius dan kematian.
Sertai Usaha Melindungi Warga Emas
Influenza bukan isu baru. Sejak 1945, pelbagai penyelidikan telah membuktikan keberkesanan dan keselamatan vaksin ini. Namun, di Malaysia, pengambilan vaksin masih rendah.
Jadi, kami menyeru anda semua untuk menyokong usaha ini dengan menandatangani petisyen bagi pemberian vaksin influenza percuma kepada warga emas.
Langkah ini bukan sahaja melindungi nyawa, tetapi juga memastikan kualiti hidup mereka terus terjamin.
Bertindak sekarang! Lindungi mereka yang telah berjasa membina negara tercinta ini. Vaksinasi boleh menyelamatkan nyawa.
BACA:Â Wanita melahirkan anak tanpa mengetahui dirinya sedang hamil