Malaysia dikenali sebagai satu-satunya negara di dunia yang memiliki sembilan orang raja berdaulat dan mengamalkan sistem penggiliran
serta pemilihan jawatan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) di kalangan Raja-Raja Melayu sebagai ketua negara bagi Persekutuan Malaysia.
Namun, tahukah anda bagaimana sistem penggiliran ini bermula?
Jawatan Yang di-Pertuan Agong berakar daripada hasil Suruhanjaya Reid yang merangka Perlembagaan Persekutuan.
Cadangan penubuhan jawatan Yang di-Pertuan Agong berbangkit susulan tentangan terhadap pembentukan Malayan Union yang dilihat sebagai ancaman terhadap Institusi Raja-Raja Melayu.
Gelaran “Yang Di-Pertuan Agong” hampir dipanggil sebagai “Yang Di-Pertuan Besar”. Majlis Raja-raja diberikan dua pilihan nama ini dan setelah perbincangan, mereka bersetuju untuk menggunakan gelaran “Yang Di-Pertuan Agong”.
Pada 31 Ogos 1957, selepas memilih gelaran Yang di-Pertuan Agong dan menolak gelaran Yang di-Pertuan Besar yang dicadangkan sebelum itu, Majlis Raja-Raja bersidang untuk mengundi pemegang takhta yang pertama.
Pada awalnya, undian untuk penggiliran perlantikan Yang di-Pertuan Agong dilakukan berdasarkan senioriti tempoh pemerintahan.
Calon pertama berdasarkan senioriti tempoh pemerintahan ialah Almarhum Sultan Johor, Sultan Ibrahim al-Masyhur yang memerintah negeri Johor sejak tahun 1895, tetapi beliau menolak atas sebab tua dan uzur.
Kemudian, perhatian tertumpu kepada Almarhum Sultan Pahang, Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin yang memerintah negeri Pahang sejak tahun 1932, tetapi beliau tidak mendapat mandat penuh.
Seterusnya, undian beralih kepada Almarhum Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Abdul Rahman yang memerintah Negeri Sembilan sejak tahun 1933.
Beliau diberi mandat penuh dan akhirnya dilantik sebagai Yang Dipertuan Agong pertama.
Sejak itu, sistem penggiliran jawatan Yang di-Pertuan Agong bermula dari Negeri Sembilan, diikuti oleh Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor, dan Perak.
Senarai ini berpandukan kepada senioriti negeri yang raja mereka telah dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong sebelum ini (1957-1994) mengikut Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan.
Menariknya, jika Brunei menyertai Malaysia pada 1963, Sultan Brunei juga akan diberi peluang untuk bertanding sebagai Yang di-Pertuan Agong oleh Majlis Raja-raja Melayu.