Aktiviti sewaan khemah biru yang sering mencetuskan konflik di Pantai Telok Kemang akan dihentikan berkuat kuasa 18 November depan.
Notis yang dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) menyatakan bahawa
semua khemah dan peralatannya perlu dibersihkan daripada tapak perniagaan.
Notis tersebut, yang ditandatangani oleh Yang Dipertua MPPD, Hasnor Abd Hamid,
menyenaraikan alasan bagi keputusan ini, termasuk impak negatif terhadap imej Port Dickson sebagai destinasi peranginan.
Kegiatan sewaan ini sering menimbulkan rungutan orang awam yang dihalang oleh peniaga untuk menggunakan kawasan pantai. Arahan terbaru ini juga melibatkan beberapa pantai lain, termasuk Pantai Tanjung Biru dan Pantai Cermin.
Tindakan ini diambil bagi memberi laluan kepada pembaharuan peraturan dan memastikan pengurusan perniagaan di pantai lebih teratur.
Selain menghentikan aktiviti sewaan, MPPD mengingatkan bahawa segala peralatan yang tidak dialihkan akan dilupuskan tanpa sebarang notis lanjut.
MPPD juga memberi amaran kepada peniaga bahawa sebarang perniagaan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 46 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).
Pihak MPPD menyarankan peniaga untuk membersihkan segala peralatan seperti khemah, meja, kerusi, payung, dan binaan lain yang mungkin masih ada di kawasan pantai selepas tempoh akhir. Jika ada yang ingkar, peralatan tersebut akan dilupuskan oleh pihak majlis.
BACA: Setelah 15 tahun mendirikan rumah tangga, tiba-tiba Que Haidar umum dah bercerai