Ini yang terjadi pada bulu tangkis setiap kali habis perlawanan Badminton

Oleh ZULQARNAIN ISMAIL

Badminton adalah salah satu sukan utama di dunia dan dipertandingkan di Sukan Olimpik yang sedang berlangsung di Paris, Perancis.

Di Olimpik, terdapat lima acara badminton yang dipertandingkan iaitu perseorangan lelaki, perseorangan wanita, beregu lelaki, beregu wanita, dan beregu campuran.

Sejak dahulu, sukan badminton sering menjadi harapan utama Malaysia untuk meraih pingat di temasya terunggul itu, terutama ketika kita berusaha mendapatkan emas pertama negara.

Sebagaimana yang kita ketahui, permainan badminton adalah sukan yang sangat pantas.

Di dalam gelanggang, pemain akan saling berbalas pukulan kencang yang sangat mengujakan.

Ini yang terjadi pada bulu tangkis setiap kali habis perlawanan Badminton

Kadang-kadang, berlaku rali panjang yang membuatkan penonton tidak sabar menanti keputusan akhir.

Namun, apa yang berlaku kepada bulu tangkis yang digunakan selepas perlawanan?

Dalam permainan badminton, dua komponen utama yang diperlukan adalah raket dan bulu tangkis. Berbeza dengan raket yang tahan lama dan jarang ditukar, bulu tangkis perlu ditukar dengan lebih kerap dalam permainan.

Terutama dalam perlawanan elit, bulu tangkis sering ditukar sehingga sukar dihitung oleh penonton. Namun, bulu tangkis yang ditukar ini sebenarnya masih berada dalam keadaan baik dan boleh digunakan lagi.

Menurut CK Yew, seorang Youtuber, bulu tangkis yang digunakan dalam perlawanan peringkat tinggi sebenarnya masih dalam keadaan baik.

Oleh itu, bulu tangkis tersebut tidak akan dibuang. Sebaliknya, ia akan dikumpulkan dan dikembalikan oleh penganjur pertandingan kepada penaja atau pihak yang membayar semua bulu tangkis tersebut.

Penaja atau pihak berkenaan akan menentukan bagaimana untuk menguruskan bulu tangkis yang sudah digunakan itu.

Biasanya, bulu tangkis akan diserahkan kepada kelab badminton tempatan, sekolah, atau rakan penaja lain. Ia juga boleh digunakan untuk latihan oleh pemain sebagai persediaan untuk pertandingan akan datang.

Dalam perkembangan terkini Sukan Olimpik, hasrat beregu lelaki dan wanita negara untuk mara ke perlawanan akhir acara masing-masing tidak tercapai. Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Pearly Tan-M. Thinaah tewas kepada lawan masing-masing, yang merupakan wakil dari China.

Namun, perjuangan mereka belum berakhir kerana mereka akan turun dalam perlawanan akhir untuk menentukan pingat gangsa.

BACA:‘Dah biasa kena..’ Anna Jobling jawab kes bercium dengan pelakon Indonesia