Inspektor ditahan kerana disyaki rogol dua wanita Mongolia

Inspektor ditahan kerana disyaki rogol dua wanita Mongolia

Seorang pegawai polis ditahan selepas dipercayai merogol dua wanita warga Mongolia di sebuah hotel di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pegawai berpangkat inspektor berusia 30 tahun itu dipercayai berbuat demikian selepas menahan wanita terbabit di sekatan jalan raya (SJR) di daerah ini sebelum dibawa ke hotel berkenaan.

Menurutnya, hasil maklumat berjaya menyelamatkan dua wanita berusia 20 dan 37 tahun di hotel terbabit.

“Mangsa yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang lengkap itu sudah menjalani pemeriksaan, ketika ini mereka diletakkan di bawah penjagaan D11 (Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Petaling Jaya.

“Suspek kini direman selama lima hari,” katanya ketika ditemui pemberita di SJR PJU 7/1, Mutiara Damansara, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Katanya, beliau mengambil kesempatan ini menzahirkan rasa kecewa terhadap apa yang berlaku namun akan mengambil tindakan sekeras-kerasnya mengikut undang-undang sedia ada.

Berita penuh:https://www.sinarharian.com.my/article/78594/BERITA/Jenayah/Inspektor-dipercayai-rogol-wanita-Mongolia-diberkas