Isteri biar suami sakit kronik terlantar di bilik bawah… Tak mampu nak jaga dah

Oleh SHUHADA BUSTAMAN

Pasang surut dalam kehidupan perkahwinan adalah lumrah biasa, namun kisah seorang wanita berusia 45 tahun yang tular di media sosial baru-baru ini mengundang pelbagai reaksi.

Wanita tersebut mendedahkan bahawa dia mula tawar hati dan mempertimbangkan untuk bercerai dengan suaminya,

Yang telah menghidap penyakit kronik sejak tiga tahun lalu.

Lebih memilukan, dia menyatakan sudah tidak berdaya untuk terus menjaga suaminya.

“Saya benar-benar tawar hati dengan suami, saya tak mampu nak hadap dan jaga dia lagi.

Isteri biar suami sakit kronik terlantar di bilik bawah... Tak mampu nak jaga dah

Suami sudah tiga tahun sakit kronik. Apakah harus saya menuntut cerai?

“Saya rasa berdosa hidup dalam rumah tangga macam ini. Saya selalu berfikir alangkah indahnya jika mempunyai suami yang baik dan menjadi tempat untuk bermanja,” luah wanita itu.

Terpaksa Menanggung Segalanya

Menurut wanita tersebut, dia dan suaminya sebaya, tetapi sejak awal perkahwinan, dia yang menanggung hampir keseluruhan beban keluarga.

“Semasa suami sihat, saya juga yang menanggung keluarga… siang malam berniaga. Hidup saya sengsara, kerja pagi petang hanya untuk anak-anak.

“Sekarang, saya biarkan saja suami di bilik bawah. Saya tak mampu beri makan dengan betul. Kadang-kadang dia makan biskut roti saja,” katanya lagi.

Dia turut mendedahkan bahawa ketika suaminya masih sihat, lelaki itu tidak pernah memberikan nafkah dan dikenal sebagai seorang yang kedekut.

“Banyak duit saya habis, kena tanggung anak-anak sekolah lagi. Tapi suami sebenarnya baik, sopan, tak pernah berkasar, dan selalu bantu jaga anak-anak.

“Namun, makan, pakaian sekolah, baju raya, yuran anak-anak sejak 20 tahun lalu, semuanya saya yang cari. Allah saja tahu betapa sedihnya hati saya,” ujarnya.

Reaksi Netizen: Antara Simpati dan Nasihat

Kisah wanita ini mendapat perhatian pengguna TikTok yang meninggalkan pelbagai pandangan di ruangan komen.

“Orang hanya boleh berkata-kata, yang hadap dan rasa hanya awak. Fikir dengan waras dan buatlah keputusan yang terbaik untuk diri sendiri,” nasihat seorang netizen.

“Kalau suami tak beri nafkah, patutnya dah tinggal awal-awal. Tunggu sampai 20 tahun, dosa masing-masing bertambah,” komen seorang lagi.

Namun, ada juga yang menyarankan supaya wanita tersebut terus bersabar.

“Dik, layan suami sebaik mungkin. Cuba bersabar. Insya-Allah ganjaran syurga menanti,” tulis seorang pengguna.

Beban Penjagaan yang Berat

Menjaga pesakit kronik, apatah lagi seorang suami, bukanlah tugas mudah. Situasi ini menjadi pengajaran bahawa setiap hubungan memerlukan usaha, sokongan, dan tanggungjawab dari kedua-dua pihak.

BACA: Kecoh ada wanita pegang lengan Fattah Amin, ini respon tuan badan