Semakin ramai isteri kini memberanikan diri untuk memfailkan perceraian di mahkamah,
Malah ada yang mengambil langkah tersebut tanpa berbincang terlebih dahulu dengan pasangan.
Tindakan ini sering kali dilakukan untuk menamatkan perkahwinan yang dirasakan tidak lagi dapat atau perlu diselamatkan.
Seorang wanita yang enggan mendedahkan identitinya baru-baru ini berkongsi pengalamannya memfailkan penceraian di bawah Seksyen 47,
iaitu perceraian secara harmoni tanpa membuka aib mana-mana pihak.
Dia, yang mempunyai seorang anak, menyatakan punca utama tindakannya adalah kerana tidak sanggup lagi melayan tuntutan nafsu suaminya.
“Saya betul-betul tawar hati. Suami saya kuat nafsu sampai tidak peduli keadaan saya sebagai isteri. Kadang saya terpaksa melayan untuk mengelak pergaduhan besar. Saya penat, emosi terganggu, dan akhirnya buat keputusan untuk failkan cerai,” katanya.
Wanita itu telah berkahwin hampir tujuh tahun dan mendedahkan bahawa suaminya tidak bekerja, menyebabkan dia terpaksa menanggung keperluan keluarga sepenuhnya. Walaupun telah bertahan dengan kekurangan dari segi ekonomi, dia akhirnya hilang rasa hormat dan kasih akibat sikap suaminya.
“Saya dah terima suami seadanya walaupun dia tidak bekerja. Tapi apabila dia langsung tidak memahami kepenatan saya, hati saya jadi kosong. Saya malu untuk beritahu punca sebenar kepada keluarga, jadi saya hanya katakan kami tidak sefahaman,” tambahnya.
Dia turut meluahkan perasaan bahawa kehidupannya seolah-olah diperlakukan seperti hamba, memandangkan dia yang mencari nafkah untuk keluarga tetapi masih terpaksa melayan nafsu suaminya yang keterlaluan.
Netizen yang membaca perkongsian tersebut memberikan pelbagai reaksi, termasuk yang mempersoalkan jika keputusan wanita itu akan berbeza sekiranya suaminya mempunyai pendapatan tetap tetapi tetap kuat nafsu.
Namun, wanita itu menegaskan bahawa keputusannya bukan disebabkan faktor kewangan semata-mata.
“Kalau sebab ekonomi, saya dah lama tinggalkan dia. Tapi ini kerana batin saya penat.
Saya sering menangis setiap kali bersama kerana tidak rela. Suami saya solat pun entah ke mana kerana sibuk dengan nafsu,” katanya lagi.
Wanita itu juga menyuarakan persoalan penting, adakah salah bagi seorang isteri untuk menyuarakan rasa penat apabila melayan tuntutan suami yang tidak terkawal. Dia berharap masyarakat lebih memahami tekanan yang dihadapinya.