Isu Sajat Isu Kecil ? Ini Penjelasan Sebenar Mujahid

Sebuah portal berita melaporkan Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf ada mengeluarkan kenyataan bahawa kes Sajat menunaikan umrah adalah isu kecil dan tiada tindakan akan diambil. Namun kenyataan spontan Mneteri agama itu telah di salahtafsir oleh portal tersebut. Berikut penjelasan rasmi daripada pejabat Datuk Seri Dr Mujahid sendiri :

KENYATAAN AKHBAR
PEJABAT YB MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI

Pejabat ini merujuk laporan portal berita Malaysia Gazette bertarikh 10 Februari 2020 yang bertajuk ‘Kes Sajat hanya isu kecil, kata Mujahid’. (https://malaysiagazette.com/2020/02/10/kes-sajat-hanya-isu-kecil-tiada-sebarang-tindakan-kata-mujahid/)

Pejabat ini ingin menegaskan, tajuk dan laporan berita berkenaan tidak menggambarkan maksud yang ingin disampaikan oleh YB Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa. Sebagai makluman, pada 9 Februari 2020 semasa Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran JAKIM dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) di Quill City Mall, Kuala Lumpur, YB Menteri telah pun mengulas tentang isu Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman. (rujuk lampiran laporan akhbar)

Pada pagi ini, YB Menteri sekali lagi diajukan soalan sama selepas sesi sidang media bersama Setiausaha Agung Komanwel, Patricia Scotland di Insitut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC). Memandangkan pemberita bertanya tentang isu Muhammad Sajjad selepas sesi forum bersama Setiausaha Agung Komanwel, YB Menteri beranggapan agenda yang ingin dibawa di dalam forum berkenaan lebih besar berbanding isu yang diajukan ketika itu. Jawapan “isu kecil” oleh YB Menteri tidak menggambarkan bahawa kerajaan memandang remeh tindakan yang dilakukan ahli perniagaan berkenaan di kota suci Makkah.

YB Menteri dan kementerian ini sentiasa memandang serius terhadap sebarang isu yang melibatkan umat Islam di negara ini. Bagi isu melibatkan Muhammad Sajjad, sebarang tindakan yang hendak diambil perlu memenuhi tiga aspek iaitu ia perlu mengurangkan kerisauan orang ramai, kandungan yang dimuatnaik di media sosial perlu diteliti dan perlu memastikan dia menghormati landasan dan syariat Islam di negara ini. Sebarang tindakan yang akan diambil perlu memenuhi aspek ini supaya pengajaran dapat diberikan sewajarnya.

PEJABAT MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI
10 JANUARI 2020