‘Jalan kampung pun ada lampu, jalan berbayar tak sedia lampu’ Dr Akmal tegur syarikat konsesi

Oleh SHUHADA BUSTAMAN

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh mengkritik syarikat konsesi tol yang gagal menyediakan pencahayaan yang mencukupi di sepanjang lebuh raya.

Beliau menyatakan bahawa keadaan jalan yang gelap menjadi salah satu punca utama kemalangan, kerana pengguna tidak dapat melihat objek yang mungkin berada di atas jalan raya.

“Kalau jalan kampung yang percuma pun ada lampu, mustahil lebuh raya yang kita bayar tidak boleh menyediakan lampu di kawasan gelap.

Kita sebagai pengguna membayar tol, jadi kita berhak menerima perkhidmatan yang terbaik,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Kenyataan itu dibuat susulan tragedi kemalangan maut di Kilometer 204 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Plaza Tol Ayer Keroh, yang meragut tujuh nyawa baru-baru ini.

'Jalan kampung pun ada lampu, jalan berbayar tak sedia lampu' Dr Akmal tegur syarikat konsesi

Muhamad Akmal turut mendesak pihak berkaitan untuk memberi perhatian serius terhadap pemasangan lampu jalan di lebuh raya, memandangkan kemalangan akibat keadaan jalan gelap sudah berulang kali berlaku.

“Saya benar-benar berharap perkara seperti ini tidak berulang lagi pada masa akan datang. Saya mendesak kerajaan Malaysia, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), dan pihak pengendali tol supaya segera menyelesaikan masalah jalan gelap di lebuh raya.

“Jika jalan kampung yang tidak dikenakan bayaran pun boleh dilengkapi dengan lampu, kenapa tidak untuk lebuh raya?” katanya lagi.

BACA: Kejap UMNO, kejap PKR, lepas tu UMNO balik, sekarang Adun Rembia masuk Pas pula