Jangan “double standard” dalam pelaksanaan PKP, tegur peguam

Jangan “double standard” dalam pelaksanaan PKP, tegur peguam

KENYATAAN MEDIA
BIRO UNDANG-UNDANG (KANUN)
PARTI AMANAH NEGARA

LAKSANAKAN PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN TANPA MEMILIH BULU

KANUN memandang serius dakwaan perlanggaran pergerakan oleh beberapa orang kenamaan negara khasnya yang melibatkan kawalan pergerakan dan perhimpunan.

Perintah kawalan pergerakan dan perhimpunan itu telah diwartakan dalam Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 3) 2020 [P.U(A) 117/2020] yang berkuatkuasa bagi tempoh mulai 15 April 2020 hingga 28 April 2020.

Peraturan tersebut antara lain mengenakan syarat-syarat yang ketat untuk bergerak termasuk untuk melaksanakan apa-apa tugas rasmi yang mesti mendapat surat kebenaran daripada pegawai atasannya. Peraturan tersebut juga menyatakan bahawa apa-apa bentuk perhimpunan di dalam mana-mana premis awam atau persendirian bagi tujuan keagamaan, sukan, rekreasi, sosial atau kebudayaan adalah dilarang sama sekali.

Setakat 17/4/2020 seramai 17,024 orang (jumlah kumulatif) telah ditangkap oleh pihak berkuasa yang mana ada yang telah dikenakan kompaun maksima RM1000 atau pun didakwa di Mahkamah.

Baru-baru ini tular di media sosial gambar-gambar pemimpin negara yang berhimpun untuk kegiatan sosial seperti menjamu selera di dewan madrasah persendirian selepas mereka membuat program memberikan bantuan kebajikan. KANUN menyatakan bahawa tindakan berhimpun secara sosial bagi tujuan penjamuan di premis itu adalah bercanggah sama sekali dengan peraturan yang dibuat meskipun jika sekiranya benar mereka duduk dalam keadaan berjarak seperti yang dilaporkan dalam siasatan awal oleh Ketua Polis Perak, CP Datuk Razarudin Husain.

KANUN menggesa supaya mereka yang terlibat segera didakwa di Mahkamah tanpa pengecualian selaras dengan peruntukan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan “Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang”.

Kegagalan untuk melakukan pendakwaan segera ke atas mereka akan menjejaskan kewibawaan pihak berkuasa dan kerajaan di mata rakyat.

Dr. Zulqarnain Lukman
Pengerusi KANUN (Biro Undang-Undang)
Parti Amanah Negara
19 April 2020