Jangan ganggu urusan pelantikan ahli majlis PBT Perak

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)  Perak tidak mahu mana-mana pemimpin politik Pakatan Harapan (PH) negeri menganggu urusan pentadbiran kerajaan negeri khususnya dalam isu pelantikan ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Setiausahanya, Datuk Seri Zainol Fadzi Paharuddin berkata ini kerana keputusan untuk menentukan kelayakan seseorang itu dilantik sebagai ahli majlis PBT perlu mendapat persetujuan melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

“Bermakna daripada segi pentadbiran (pelantikan ahli majlis) kuasa untuk menentukan pelantikan ini dibawah Menteri Besar dan barisan Exco kerajaan negeri.

“Tidak semestinya apa jua pandangan dan cadangan daripada pemimpin politik di kalangan komponen itu perlu diterima bulat-bulat tanpa mengambil kira perkara lain yang boleh memberi imej dan gambaran tidak baik kepada pentadbiran negeri,” katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Semalam (17 Sept), media melaporkan Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal dalam kenyataannya telah mempersoalkan tindakan Ahmad Faizal yang masih belum melantik ahli majlis PBT daripada PKR walaupun senarai nama telah dihantar sejak dua bulan lalu.

Farhash turut menegaskan sehingga kini isu pelantikan berkenaan masih belum diselesaikan dan tiada maklum balas diberikan oleh Ahmad Faizal.

Mengulas lanjut, Zainol yang juga Penasihat Menteri Besar berkata isu pelantikan itu juga tidak seharusnya diperbesarkan kerana ia hanya melibatkan dua PBT iaitu Majlis Daerah Kerian (MDK) dan Majlis Bandaraya Ipoh.

“Saya tidak mahu ia terus berlanjutan kerana akan menjejaskan banyak perancangan dan rakan Exco dalam mengurus tadbir negeri ke arah yang lebih baik lagi,” katanya.

Selain itu, beliau berharap semua pemimpin politik PH Perak melakukan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh rakyat daripada mengeluarkan kenyataan yang tidak memberi manfaat dan mampu menjejaskan pentadbiran negeri.

“Patutnya masa ni kita bekerja untuk bukan keluarkan kenyataan bersifat kebudak-budakkan dan tidak baik kerana rakyat diluar sana melihat,” katanya.

BERNAMA