Jangan hanya sembang, tingkatkan segera bantuan JKM kepada RM1000

Jangan hanya sembang, tingkatkan segera bantuan JKM kepada RM1000

Cadangan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meningkatkan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada RM1,000 berbanding kadar RM200-RM300 sekarang dilihat sebagai wajar, khususnya pada ketika ekonomi negara yang lembap yang memberi kesan kepada hidup rakyat. Saya berharap agar cadangan ini, yang diumumkan ketika sesi ucapannya di Sabah menjelang pilihan raya negeri, tidak menjadi sekadar gula-gula pilihanraya dan sebaliknya diluluskan oleh kerajaan dalam masa terdekat. Bukan itu sahaja, peningkatan bantuan ini tidak harus dihadkan bagi sesuatu tempoh masa tertentu sahaja.

Bantuan JKM diberikan kepada golongan sasar miskin tegar dan jumlah bantuan berbeza mengikut golongan. Golongan yang mendapat bantuan JKM termasuk OKU tidak berupaya bekerja sebanyak RM250, elaun pekerja cacat sebanyak RM400, bantuan penjagaan OKU atau pesakit terlantar sebanyak RM350, bantuan orang tua sebanyak RM350 dan bantuan kanak-kanak antara RM100-RM450. Kerajaan negeri seperti Pulau Pinang pula memberikan bantuan am kepada golongan miskin tegar antara RM260 hingga RM770 sebulan.

Peningkatan bantuan JKM pada tahun-tahun sebelum ini terlalu sedikit dan tidak bersepadanan dengan peningkatan kos sara hidup dan inflasi. Misalnya, berdasarkan data JKM, purata bantuan bulanan yang diterima seorang OKU pada tahun 2010 adalah lebih kurang RM160. Namun, pada tahun 2018 bantuan ini telah meningkat kepada RM250 untuk OKU tidak berupaya bekerja dan RM350 untuk bantuan penjagaan OKU atau pesakit terlantar. Ketika pemerintahan kerajaan PH sebelum ini, banyak perhatian telah diberikan kepada keperluan golongan sasar seperti OKU, di mana kadar tambahan Bantuan Sara Hidup (BSH) sebanyak RM120 diberikan untuk setiap anak OKU tanpa dihadkan umur, bawah Belanjawan 2019. Manakala, bawah Belanjawan 2020 pula, golongan OKU diberikan BSH sebanyak RM300 dan secara automatik menjadi penerima Skim Takaful MySalam secara percuma.

Satu model baharu harus diperkenalkan untuk bantuan JKM, di mana bayaran bukan sahaja dinaikkan kepada RM1,000, tetapi juga harus menjadi lebih tersasar di mana faktor tanggungan harus diambil kira. Adalah tidak relevan jika seorang penerima bantuan JKM yang mempunyai 5 anak menerima bayaran RM1,000, berbanding seorang bujang yang menerima amaun yang sama. Selain itu, sebagai insentif bagi mengurangkan kebergantungan kepada bantuan JKM, sewajarnya penerima yang mempunyai rekod menunjukkan mereka berusaha mencari pekerjaan atau menubuhkan perniagaan, diberikan amaun bantuan tambahan untuk satu tempoh tertetu. Dalam kerajaan membantu golongan yang memerlukan, adalah penting bagi golongan ini diberikan sokongan untuk berdiri di kaki sendiri dan mencapai taraf hidup yang jauh lebih baik. Memberi pancing lebih baik daripada memberi ikan.

Sebagai ADUN, kerjasama baik dengan pihak JKM adalah sangat penting dalam memastikan pembelaan terhadap golongan miskin tegar ini dapat dilaksanakan di peringkat bawah. Saya juga melihat keperluan penambahan kakitangan JKM bagi memantapkan perkhidmatan di peringkat bawah. Oleh kerana garis kemiskinan telah dinaikkan baru-baru ini kepada RM2,208 berbanding RM980 sebelum ini, dengan cadangan kenaikan RM1,000 ini, jumlah bantuan dianggarkan melonjak secara kasar kepada RM18 bilion setahun berbanding hanya RM1.53 bilion ketika ini. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun pula menyatakan penerima manfaat JKM akan meningkat 3 kali ganda berbanding lebih 500,000 individu ketika ini.

Walaupun ini adalah satu peningkatan yang drastik, ianya mustahak untuk mengukuhkan sosioekonomi golongan termiskin di Malaysia. Kerajaan harus melihat peningkatan bantuan JKM ini sebagai “indirect fiscal injection”. Ini disebabkan rakyat berpendapatan rendah akan membelanjakan bantuan tambahan ini untuk keperluan harian dan wang tersebut akan masuk kembali dalam kitaran wang dan terus mengukuhkan ekonomi. Rakyat harus menggesa kenaikan ini dilaksanakan segera setelah kerajaan Perikatan Nasional (PN) meluluskan penambahan RM7.18 bilion membayar perbelanjaan kabinet PN yang pada dasarnya bertentangan dengan keadilan sosial.

FAIZ FADZIL

7 September 2020

Sumber :