Sejak dahulu lagi, manusia suka kepada wangi-wangian.
Rasa diri lebih yakin untuk berada di tempat awam apabila badan berbau harum, bukan?
Hari ini, terdapat pelbagai jenis jenama dan aroma minyak wangi yang dijual di pasaran.
Biasanya, botol minyak wangi ini dibezakan dengan label Parfum, Eau de Parfum (EDP), dan Eau de Toilette (EDT).
Kerap kali yang kita jumpa adalah label EDP dan EDT. Namun, apa makna dan perbezaan di sebalik kod tersebut?
Beza antara Eau de Parfum (EDP) dan Eau de Toilette (EDT)
Sebenarnya, label ini menggambarkan kepekatan kandungan minyak wangi dalam botol yang dijual. Tahap kepekatan ini akan menentukan prestasi minyak wangi tersebut, terutama dari segi berapa lama bau wangi bertahan.
Parfum adalah label dengan kepekatan kandungan minyak wangi paling tinggi, iaitu kira-kira 40 peratus. Jika dibandingkan dengan EDP dan EDT, Parfum mempunyai profil aroma yang lebih kaya dan kompleks. Malah, keharuman minyak wangi dengan label Parfum dapat bertahan lebih lama berbanding EDP dan EDT. Disebabkan baunya yang lebih kuat, Parfum lebih sesuai dipakai untuk acara tertentu yang dapat menunjukkan kehadiran anda.
Eau de Parfum (EDP) pula berada di tingkat kedua selepas Parfum. Label EDP biasanya menunjukkan kandungan kepekatan minyak wangi berada pada tahap antara 15 hingga 20 peratus.
Keharuman minyak wangi dengan label EDP biasanya mampu bertahan pada kulit dalam tempoh sehingga 10 jam, dengan syarat dipakaikan dengan teknik yang betul. Minyak wangi EDP juga dianggap sebagai pilihan yang lebih sesuai untuk dipakai setiap hari.
Eau de Toilette (EDT) berada di tahap ketiga di belakang Parfum dan EDP. Minyak wangi dengan label EDT biasanya mempunyai kepekatan minyak wangi pada kadar 5 hingga 15 peratus.
Oleh itu, keharuman minyak wangi dengan label EDT lebih cepat pudar berbanding Parfum dan EDP. Minyak wangi EDT yang berbau lebih ringan sesuai dipakai secara santai.
BACA: Mampukah Ringgit cecah RM3.80 hujung tahun ini? Ini jawapan penganalisis